Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
3092792
Kemaskini Pada: 6 Dis 2019
Versi 8.2.2
Sarawak terus tumpu aspek kesejahteraan sosial capai pembangunan seimbang, maju
Tarikh : 19 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Harden (lima kiri), bersama Ladin (tiga kiri), Denney, Law dan pegawai bomba lain bergambar bersama ‘bomba cilik’ pada program kelmarin.PEMBANGUNAN SOSIAL: Harden (lima kiri), bersama Ladin (tiga kiri), Denney, Law dan pegawai bomba lain bergambar bersama ‘bomba cilik’ pada program kelmarin.

LAWAS: Sarawak terus menumpukan kepada aspek kesejahteraan sosial bagi mencapai pembangunan seimbang dan status negeri maju menjelang 2030.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, melihat kepada gejala atau isu sosial yang berlaku dalam masyarakat sekarang, segala perbelanjaan, kos dan usaha yang digunakan untuk perancangan, pemantauan, pelaksanaan dan penilaian dalam pembangunan sosial diiktiraf sebagai pelaburan sosial, sama seperti pelaburan dalam projek-projek fizikal lain.

Beliau berkata, dalam usaha menangani jenayah dan permasalahan sosial setiap golongan masyarakat perlu peka dan sentiasa memainkan peranan masing-masing sebagai mata dan telinga kerajaan dengan bertindak melaporkan segala maklumat, permasalahan dan gejala tidak sihat yang berlaku di sekeliling mereka kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Input, pandangan, idea dan maklum balas membina daripada kalangan masyarakat juga amat diperlukan bagi menambah baik usaha dan mutu perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan agar lebih sensitif dan responsif kepada kehendak dan keperluan komuniti di Sarawak.

“Kita harus mengikis sikap individualistik apabila berhadapan dengan masalah sosial di sekeliling kita dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang,” katanya pada penutupan Program Randau Sosial Siri 12/2019 anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pejabat Daerah Lawas di Kampung Long Sukang, di sini kelmarin.

Turut hadir Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial KWKPK Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang Haslinda Supu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Lawas Charlton Jis, Ketua Bomba Zon 6 Miri Law Poh Kiong, Penghulu Meripa Tagal dan Ketua Kampung Long Sukang Bina Balang.

Harden berkata, semangat ambil peduli harus terus dipupuk dalam komuniti kita sejajar dengan gerakan #careforsarawak yang didukung KWKPK.

“Pembangunan sosial adalah tanggungjawab kita bersama.

“Kerjasama dan kolaboratif semua pihak adalah penting bagi menjamin persekitaran yang sejahtera dalam komuniti,”katanya.

Pada masa yang sama kata beliau, rakyat di luar bandar perlu terus melibatkan diri dan bekerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti masing-masing.

“Kerajaan Sarawak memang komited dengan usaha memperkasakan komuniti secara inklusif tanpa mengira latar belakang etnik, agama, lokasi dan kefahaman melalui pembinaan modal sosial dengan kesedaran serta pengetahuan seperti yang dilakukan dalam program randau ini supaya lebih berdaya tahan dalam menangani pelbagai krisis dan cabaran sosial dan ekonomi semasa,” jelas beliau.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan kesejahteraan sosial dengan membuat pelaburan sosial ke atas perkara-perkara yang memberi manfaat sosial dan seterusnya membawa kepada perubahan sosial.

“Pelaburan sosial adalah alat yang mampu membantu kita memahami kehendak, keperluan serta intervensi bersepadu yang diperlukan dalam masyarakat.  

“Oleh itu, Program Randau Pembangunan Sosial ini direka bentuk bagi menjejaki golongan yang berisiko tinggi; rentan/mudah terjebak dengan gejala sosial yang negatif; kurang upaya; daif, yang tidak berkemampuan; sukar diakses dapat dikenal pasti dan diberikan keutamaan secara inklusif,” katanya.

Kira-kira 500 penduduk hadir pada majlis tersebut.