Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
3092758
Kemaskini Pada: 6 Dis 2019
Versi 8.2.2
Projek rangkaian jalan pesisir Sarawak siap 2025
Tarikh : 26 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

BERMULA: Julaihi (tiga kanan) bersama Abang Johari (tiga kiri) pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan, Lundu semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi


KUCHING: Projek rangkaian jalan pesisir Sarawak sepanjang 896 kilometer (km) termasuk pembinaan tujuh jambatan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, projek rangkaian jalan pesisir ini terbahagi kepada tiga komponen.

Komponen pertama katanya, adalah untuk menggantikan semua kemudahan feri di sepanjang jalan pesisir dengan membina jambatan.

“Satu daripadanya adalah Jambatan Batang Rambungan  di mana majlis pecah tanah diadakan hari ini (semalam).

“Kita juga telah adakan majlis yang sama iaitu Jambatan Kuala Kemena, Jepak di Bintulu pada 22 Julai serta Jambatan Muara Lassa pada 8 September.

“Jambatan-jambatan lain termasuk Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian dan Batang Paloh.

“Kerja di tapak lapangan sudah bermula kecuali Jambatan Batang Lupar yang merupakan antara tiga jambatan yang diambil alih daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan, Lundu dekat sini semalam.

Tambah Julaihi, kerajaan negeri juga akan menaik taraf 331km daripada laluan jalan pesisir sepanjang 896km yang perlu dinaik taraf.

Kerja menaik taraf katanya, melibatkan 23 pakej dan telah bermula di Samarahan dan Miri.

Mengulas mengenai Jambatan Batang Rambungan, Julaihi berkata ia merupakan sebuah jambatan jenis ‘cable stayed’.

Projek ini menelan kos RM98.5 juta dengan panjang keseluruhan 560 meter panjang, dua lorong sehala. Tempoh pembinaan 36 bulan atau tiga tahun.

“Jambatan ini bakal menjadi landskap ikonik di sepanjang jalan Lundu-Sempadi-Kuching di mana ia turut dilengkapi hiasan lampu seperti yang ada pada Jambatan Darul Hana.

“Apabila jambatan ini siap kelak, perjalanan melalui Jalan Lundu-Sempadi ini tidak lagi terhad mengikut masa operasi feri dan tempoh perjalanan dari bandar raya Kuching dapat dipendekkan,” ujarnya.

Dalam pada itu majlis pecah tanah semalam telah dihadiri 5,000 penduduk dari sekitar Lundu, Sematan termasuk Kuching dan Bau dan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

oleh Agnes Tugong