Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
3092664
Kemaskini Pada: 6 Dis 2019
Versi 8.2.2
Sarawak mempunyai peluang besar di BIMP-EAGA
Tarikh : 26 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

RASMI: Sharifah Hasidah bersama Saiful (dua kanan) dan tetamu kehormat dari negara BIMP-EAGA melakukan simbolik pelancaran Ulang Tahun Ke-25 BIMP-EAGA di Kuching, malam kelmarin.

 

KUCHING: Sarawak mempunyai peluang perdagangan dan pelaburan besar untuk ditawarkan kepada Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) terutama dari segi sumber asli, produk dan perkhidmatan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, justeru Kerajaan Sarawak kini menjalin kerjasama rapat dengan negara-negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia. 

“Kerjasama itu dilakukan sebagai usaha untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan dalam pembangunan sinergi merentas sempadan.  

“Antara bidang tumpuan yang dilihat mempunyai potensi adalah sektor perkhidmatan iaitu pendidikan tinggi, pelancongan dan kesihatan serta pembangunan pertanian dan penternakan.

“Atas sebab ini juga, kita (Kerajaan Sarawak) akan menubuhkan pejabat perdagangan dan pelancongan di Bandar Seri Begawan dan Pontianak,” katanya pada Majlis Malam Gala BIMP-EAGA sempena Ulang Tahun Ke-25 BIMP-EAGA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Teks ucapan Abang Johari dibacakan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mengiktiraf aspirasi BIMP-EAGA untuk menjadi ‘food basket’ di ASEAN dan seluruh dunia.  

Sarawak kini katanya, memberi tumpuan kepada pemodenan dan pengkomersilan pertanian untuk meningkatkan produktiviti dan meningkatkan tahap pendapatan para petani.

“Oleh itu, kerajaan sedang melaksanakan strategi spesifik untuk mengukuhkan rantaian bekalan pertanian.

“Ia mencakupi penggunaan teknologi moden, memperkuatkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) pertanian, menaik taraf infrastruktur logistik dan menubuhkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan,” katanya.

Menurut Abang Johari, Sarawak berhasrat menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Selari dengan itu, kita fokus dengan pembangunan ekonomi untuk mempercepatkan sosioekonomi.

“Maka itu, saya yakin banyak ruang untuk kita (Sarawak) mengadakan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam BIMP-EAGA,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan wakil-wakil dari negara BIMP-EAGA.

  • oleh
    Marlinda Mardzuki