Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Belia kaya idea inovasi akan dibantu
Tarikh : 09 Dec 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Lab di SMA Tegas Innovation Hub semalam.TERBAIK: (Dari tiga kiri) Wan Suraya, Abdullah dan Niel bergambar dengan peserta Youth Co:Lab di SMA Tegas Innovation Hub semalam.

 

MIRI: Golongan muda yang kaya idea inovasi akan dibantu agar minat mereka dalam bidang keusahawanan tidak terbantut kerana kekangan modal.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol berkata, banyak bantuan kewangan ditawarkan kerajaan negeri pada tahun depan untuk membantu usahawan muda.

Antaranya peruntukan RM25 juta untuk melaksanakan pelbagai program SME (industri kecil  dan sederhana) dan pinjaman (solf loan) untuk SME serta peruntukan RM30 juta untuk pinjaman mikro.

Turut diperuntukkan ialah RM8 juta untuk Tranformasi Keusahawanan Luar Bandar Sarawak.

“Sebab itu dalam bajet untuk tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan banyak bantuan kewangan.

“Ini antara inisiatif kerajaan negeri membantu usahawan muda,” jelas beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Youth Co:Lab Malaysia di SMA Tegas Innovation Hub di Miri Times Square semalam.

Abdullah berkata, melihat daripada pembentangan idea inovasi lapan pasukan yang bertanding, kerajaan menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan membantu mengembang dan memasarkan idea mereka.

Menurutnya, semua peserta memerlukan bantuan kewangan untuk mengembangkan idea inovasi mereka yang kebanyakannya melibatkan aplikasi dan Internet.

“TEGAS akan berjumpa dengan mereka bagi membantu setakat yang kami mampu.

“Kita tidak seharusnya membenarkan inisiatif dan presentation mereka pada hari ini sahaja, kita akan cuba bantu di mana yang kita mampu,” jelasnya.


Beliau berkata, aktiviti Youth Co:Lab akan diperluaskan ke bahagian lain untuk menarik lebih ramai penyertaan belia dan pembentangan idea-idea inovasi baharu.

Tiga pasukan iaitu TIMOGAH, #DemiLaut dan Ishamuzen terpilih untuk mewakili Sarawak ke Summit Youth Co:Lab pada tahun depan.

Lapan pasukan lain ialah BagTruck, Nil, The Founders Club, Cynerve dan Beemo.

Wakil Timbalan Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam Niel Kundsen berkata, golongan belia terus diperkasakan dengan meningkatkan kemahiran dan peluang menerusi inovasi sosial dan keusahawanan sosial.

Selain Miri, aktiviti turut diadakan di Cyberjaya pada November lalu.

Program di Miri mendapat kerjasama SMA Tegas Innovation Hub dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Objektifnya adalah untuk memulakan, memangkin dan mengekalkan inovasi belia dengan menyokong permulaan perniagaan dan perusahaan sosial belia.

Aktiviti bootcamp ini adalah yang julung kali di Sarawak dan diadakan selama tiga hari bermula 6 Disember.
Dalam tempoh tersebut, pasukan akan bekerjasama dengan mentor dan jurulatih untuk memperkemaskan lagi pembentangan idea (pitch presentation)  mereka di hadapan hakim.
Hakim terdiri daripada Penganalisis Program, Pertumbuhan dan Pembangunan Inklusif UNDP Malaysia Jun Faredda Jabar, Pengarah Pusat Keusahawanan Inklusif ASEAN, MaGIC Mohamed Yusnee Rahmat Mohd Yusof dan Ahli Strategi Ekosistem, Pembangunan Bakat Lembaga Multimedia Sarawak Khairool Adzelan Aman.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan  Datuk Wan Suraya Wan Md  Radzi  dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.