Sarawak tegas pertahan hak, kuasa imigresen
Tarikh : 09 Dec 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Lee (lapan kiri) merasmikan Perarakan Krismas Bandar Raya Miri Ke-12, 2019 serta konsert Krismas di Dataran Kipas, Miri sambil disertai tetamu kehormat lain dan jawatankuasa penganjur. RASMI: Lee (lapan kiri) merasmikan Perarakan Krismas Bandar Raya Miri Ke-12, 2019 serta konsert Krismas di Dataran Kipas, Miri sambil disertai tetamu kehormat lain dan jawatankuasa penganjur.

 

MIRI: Sarawak bertuah kerana masih mempu-nyai kuasa dan hak ke atas imigresen, yang membolehkannya menyekat kemasukan pihak tertentu atau sebarang usaha yang menimbulkan huru-hara dan masalah kepada rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu rakyat negeri ini terus bersatu dan memastikan hak tersebut kekal terpelihara walau apa juga alasannya.  

 “Hak ke atas imigresen adalah hak kita sebagaimana yang sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita amat mengalu-alukan pelawat dan pengunjung yang mahu datang ke negeri kita, tetapi bagi mereka yang mempunyai niat atau agenda mahu mencetuskan masalah di kalangan rakyat negeri ini, maka mereka tidak dialu-alukan,” katanya.

“Ini adalah hak kita dan kita semua, untuk apa jua alasannya, atau kepentingannya, tidak boleh sesekali kehilangan hak ini,” tegas beliau dalam ucapannya merasmikan Perarakan Krismas Bandar Raya Miri 2019 (MCCP 2019) di Dataran Kipas Miri di sini, malam kelmarin.  

Teks ucapan dan perasmian majlis dibacakan wakil beliau Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Menurut Abang Johari lagi, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keharmonian terus terpelihara di kalangan rakyatnya dengan menggalakkan persefahaman dan saling menghormati meskipun daripada latar belakang bangsa, agama dan budaya yang berbeza.

“Kita tinggal dalam persekitaran yang unik dengan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.

“Justeru ia bukan tugas mudah untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan rakyat dengan latar belakang yang berbeza bangsa, agama dan kepercayaan ini.

“Tetapi kita di Sarawak telah menunjukkan bahawa kita boleh hidup bersama meskipun mempunyai pelbagai perbezaan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, akan terus menyokong aktiviti-aktiviti oleh agama-agama lain selain Islam, menerusi Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) kerana keharmonian agama bukanlah sesuatu yang hanya disebut-sebut tetapi di Sarawak dan bagi kerajaan negeri direalisasikan.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan dana dan peruntukan bagi membantu agama-agama lain selain Islam dalam perkara berkaitan menerusi UNIFOR yang ditubuhkan khas.

“Marilah kita sama-sama berdoa, bahawa semangat Hari Krismas akan terus membimbing kita untuk terus hidup dalam perpaduan dan keharmonian.  

“Saya berdiri teguh dengan kepercayaan saya bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup dan bebas menyembah agama yang mereka anuti tanpa perlu bersembunyi dan berselindung melakukan aktiviti mereka,” tambahnya.

Mengenai perarakan Hari Krismas pula, Abang Johari berkata, ia sudah menjadi trend di negeri ini, kerana apabila tiba musim perayaan tersebut, setiap bahagian mulai menganjurkan perarakan masing-masing.

“Tahniah kepada rakyat di Miri, kerana telah sama-sama hadir memeriahkan acara pada tahun ini, iaitu perarakan Hari Krismas kali ke-12 di bandar raya Miri.

“Saya difahamkan pada setiap tahun, ribuan orang datang dari seluruh pelosok negeri dan dari serata dunia untuk mengambil bahagian dalam perarakan Hari Krismas di Miri, menjadikannya satu sejarah kerana menganjurkan perarakan terbesar seumpama itu di Sarawak,” katanya.

Perarakan Krismas Bandar Raya Miri Kali Ke-12 kelmarin berjaya menghimpunkan sekitar 45,000 orang, bukan sekadar peserta daripada 15 gereja sekitar Miri, malah para pelawat dan pengunjung, dari dalam dan luar negara, terutama negara jiran Brunei dan Indonesia.

Bertemakan ‘We Are One In Christ - Rome 12:5’, acara tahun ini dihoskan Gereja Seventh-Day Adventist yang menyaksikan perarakan Krismas serta pentas Krismas dengan pelbagai persembahan termasuk lagu-lagu Krismas dan tarian.

Di majlis itu juga Abang Johari mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di Miri bagi menganjurkan perarakan Krismas serta aktiviti lain untuk masyarakat setempat.

Sementara Lee pula, turut mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk perarakan Krismas manakala hasil kutipan ‘love gift’ daripada masyarakat setempat berjumlah RM16,000 pula akan disalurkan kepada tiga badan kebajikan terpilih di sini.

Hadir sama ialah Datuk Bandar Miri Adam Yii, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pengerusi MCCP 2019 Pastor Andrew Ganya serta tetamu kehormat lain.

Malam kelmarin, Adam turut mengumumkan Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Miri akan bergabung menjadi hos me-nganjurkan MCCP 2020 pada Disember tahun depan.

Adam turut menjangkakan MBM bersama hos tahun depan mengadakan acara ini dalam skala yang lebih besar.