Sarawak ada fakta, bukti tuntut cukai jualan dari PETRONAS
Tarikh : 08 Dec 2019  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

Abdullah ketika ditemui pemberita di SMA Tegas hari ini. Abdullah ketika ditemui pemberita di SMA Tegas hari ini.

 

MIRI: Kerajaan negeri mempunyai fakta dan bukti untuk menyokong kes tuntutan cukai jualan produk petroleum terhadap syarikat petroleum negara, PETRONAS.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol berkata kerajaan negeri akan memastikan hak dan kepentingan menerima bayaran cukai jualan itu dipertahankan.

"Saya tidak akan membuat penilaian di luar mahkamah. Kerajaan negeri mempunyai fakta dan bukti untuk menyokong kes tentang tuntutan cukai ini.

"Dan PETRONAS mempunyai alasan mereka sendiri untuk tidak membayar," jelas beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri penutupan bootcamp Youth Co:Lab  di SMA Tegas Innovation Hub di Miri Times Square hari ini.

Abdullah berkata, hak harus dipertahankan mengikut undang-undang, mengikut perlembagaan dan mengikut lunas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tidak lebih dan tidak kurang.

" Kes ini telah difail. Petronas telah membuat susulan with their defend (pembelaan). Ini satu proses undang-undang yang seperti biasa.

"Saya tidak akan berkata lebih daripada itu kerana perkara ini sedang dan akan dibicarakan di mahkamah. Kita tidak akan mengambil tindakan kalau kita tidak ada bukti yang jelas," ujarnya lanjut.