Feri bersubsidi kurangkan kos pengangkutan rakyat
Tarikh : 18 Dec 2019
 

 Dr Abdul Rahman (dua kanan) bersama pengusaha feri Omarsedi (kanan) ketika melawat perkhidmatan feri di Bukit Kota baru-baru ini.TAMBANG MURAH: Dr Abdul Rahman (dua kanan) bersama pengusaha feri Omarsedi (kanan) ketika melawat perkhidmatan feri di Bukit Kota baru-baru ini.

 

LIMBANG: Perkhidmatan feri bersubsidi sebanyak RM1 yang diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos pengangkutan rakyat di luar bandar.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sebelum diluluskan, lebih 3,000 penduduk membabitkan tujuh kampung di seberang sungai dan sekitarnya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan RM13 bagi sebuah kereta untuk ulang-alik ke bandar Limbang menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, selepas diluluskan pada 12 Disember lepas, penduduk hanya perlu membayar RM1 bagi setiap kenderaan manakala tambang percuma bagi motosikal, sekali gus meringankan beban rakyat.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan subsidi perkhidmatan feri sebanyak RM1.

“Subsidi tersebut merupakan usaha kerajaan negeri membantu meringankan kos pengangkutan penduduk yang tinggal di seberang sungai dan sekitarnya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke syarikat feri Tri Cahaya Indera Kota Sdn Bhd di Bukit Kota baru-baru ini.

ADUN Bukit Kota itu berkata sebelum pemberian subsidi, perkhidmatan feri tersebut mengenakan bayaran RM13 bagi sebuah kereta atau RM200 bagi sebuah lori berbanding RM1 sekarang bagi semua kenderaan manakala tambang percuma bagi motosikal.

“Perkhidmatan feri bersubsidi memberi manfaat kepada penduduk di tujuh kampung iaitu Pendam, Gadong, Lubok Pangi, Lupak Rangas, Sangkarai, Lubok Sigantang, Lubok Piasau dan masyarakat sekitar serta pengguna dari negara jiran Brunei,” jelasnya.

Dr Abdul Rahman menambah, perkhidmatan feri mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna selepas ia diluluskan pada 12 Disember lepas sejak setahun lebih beroperasi, bermula jam 6 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Kadar tambang RM1 tersebut menurutnya, sudah lama dinantikan rakyat di daerah ini khususnya yang berulang-alik  menggunakan perkhidmatan feri tersebut setiap hari.

Dr Abdul Rahman berkata, perkhidmatan feri yang lebih besar akan beroperasi pada Februari tahun depan dan mampu membawa 13 kenderaan pada satu-satu masa bagi menggantikan feri sedia ada yang hanya mampu memuatkan lapan kenderaan.

Katanya perkhidmatan feri beroperasi sementara menanti pembinaan jambatan kedua Sungai Limbang siap sepenuhnya.

“Apabila jambatan ini siap nanti, pembangunan kawasan di seberang sungai dapat dirancakkan dengan membangunkan kawasan itu menjadi kawasan industri pada masa depan,” ujarnya.