Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Miri tuan rumah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak
Tarikh : 06 Jan 2020
 

KUCHING: Miri akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1441H/2020M yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 16 Januari ini.

Menurut kenyatan medianya, program anjuran kerajaan Sarawak melalui Majlis Islam Sarawak (MIS)  itu akan diadakan di Dewan Suarah Miri dengan tujuan untuk menyemarakkan semangat cinta umat Islam kepada al-Quran sekali gus melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang berkaliber di negeri ini.

Kata kenyataan itu, ia juga sebagai platform untuk memilih wakil Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Kinabalu Sabah pada 14 hingga 21 Februari depan.

"Bertemakan 'Ummah Gemilang', Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak edisi ini merupakan tahun kedua yang diadakan serentak seperti tahun 2019.

"Majlis menghafaz al-Quran diadakan pada 14 hingga 15 Januari  bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala majlis tilawah al-Quran akan bermula jam 8.00 malam mulai 13 hingga 16 Januari," kata kenyataan MIS hari ini.

Tambah kenyataan itu, seramai 22 peserta terdiri daripada 11 qari dan 11 qariah akan menyertai majlis tilawah.

"Bagi menghafaz al-Quran pula, penyertaan para huffaz lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut tiga kategori iaitu pertama, kedua dan ketiga.

"Kategori pertama untuk bacaan juzuk 1 hingga 10 (lima lelaki  dan lima wanita) kategori kedua untuk juzuk 1 hingga 20 (empat lelaki  dan empat wanita) dan kategori Ketiga untuk juzuk 1 hingga 30 (empat lelaki)," katanya.

Kata kenyataan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dijangka akan merasmikan majlis itu pada 13 Januari dan majlis penyampaian hadiah  akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 16 Januari nanti.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta memeriahkan acara-acara menarik lain yang telah disediakan pada majlis tersebut

Antaranya kuiz al-Quran, Jom Ngaji Belagu Ngan Dato Ismawi Duet, pameran teks dan bahan al-Quran, jualan dan pameran  serta kolokium al-Quran.