Sarawak sokong saranan pengenalan pendidikan seks
Tarikh : 06 Jan 2020
 
 Fatimah (tengah, atas) bergambar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang dan sijil penyertaan kepada peserta OKU pada ‘2nd Malaysia International English Chess Championships for Disabled’ di Kuching semalam.
KENANGAN: Fatimah (tengah, atas) bergambar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang dan sijil penyertaan kepada peserta OKU pada ‘2nd Malaysia International English Chess Championships for Disabled’ di Kuching semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri menyokong saranan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkenalkan pendidikan seks dan hak mereka dalam undang-undang kepada pelajar tahun enam dan tingkatan lima pada 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pihaknya menyokong usaha itu kerana ia selari dengan usaha pihaknya mengurangkan kes kanak-kanak bawah umur dirogol oleh pelaku yang juga bawah umur.

“Kami berasakan ia langkah yang baik dan jika dilihat daripada statistik rogol negeri Sarawak, rogol bawah umur iaitu 16 tahun ke bawah, yang melakukan rogol terhadap kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah adalah juga mereka yang di bawah umur.

“Kementerian di bawah Majlis Pembangunan Sosial (MPS) juga telah memaklumkan kepada kumpulan sasar iaitu pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat dan ketua kaum, pertubuhan bukan kerajaan dan para pelajar tentang langkah mengurangkan remaja bawah umur hamil.

“Ini termasuk undang-undang dalam program tersebut yang bersifat ‘inter’ agensi di sekolah dan komuniti dengan kerjasama pemimpin masyarakat, LPPKN, PDRM, penjara, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan yang dikoordinasi oleh MPS,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ‘2nd Malaysia International English Chess Championships for Disabled’ di Aeroville Mall semalam.

Mereka akan diberikan sebanyak mungkin maklumat tentang remaja hamil, rogol bawah umur, perkahwinan bawah umur, hukuman jika berlaku supaya mereka tahu dan berharap mereka dapat mengambil langkah untuk berfikir mengenainya dalam usaha pencegahan, tambahnya.

Sebelum ini akhbar nasional melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata pendidikan seks akan dimasukkan dalam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani di bawah tajuk Pendidikan Reproduktif dan Pendidikan Kesihatan Sosial (PEERS).

Sementara itu mengenai bantuan untuk membeli kerusi keselamatan kanak-kanak bagi golongan B40, beliau berkata kerajaan negeri masih belum mencapai kata putus untuk memberi bantuan berkenaan.

“Pihak kami masih belum berbincang mengenainya. Cuma kerajaan akan memberi bantuan sebanyak RM450 kepada setiap ibu bersalin berkuat kuasa 1 Januari 2020 dan Kenyalang Gold Card bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas,” jelasnya.

Pada masa yang sama Fatimah menegaskan bahawa kerusi keselamatan kanak-kanak itu amat penting kepada pengguna jalan raya di bandar dan luar bandar yang kini harganya juga mampu dimiliki.

Sementara itu, Fatimah berkata Program Sejambak Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan diadakan segera sebelum sambutan itu bermula.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa sebilangan daripada sekitar 400 penerima yang layak di negeri ini tidak akan dipanggil untuk menerima hamper tetapi duit mereka berjumlah RM100 akan dikreditkan masuk terus ke akaun bank masing-masing.