Sarawak Pay semakin popular dengan lebih 184,000 pengguna
Tarikh : 05 Jan 2020
 

ZAIDIZAIDI

KUCHING: Sarawak Pay, aplikasi dompet elektronik atau e-dompet semakin popular masa kini dengan pengguna seramai 184,644 setakat 29 Disember 2019. 

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak berkata selain pengguna, Sarawak Pay juga semakin popular dalam kalangan peniaga di negeri ini.

Setakat tarikh yang sama 29 Disember 2019, Sarawak Pay mencatatkan 11,277 peniaga dengan nilai transaksi berjumlah RM164 juta. 

“Sarawak Pay merupakan idea Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengubah gaya hidup rakyat negeri ini ke arah tanpa tunai. 

“Menerusi Sarawak Pay, rakyat khususnya pengguna kini tidak lagi perlu ke kaunter untuk membayar bil utiliti kerana semuanya boleh dibuat menerusi Sarawak Pay,” katanya ketika ditemubual baru-baru ini. 

Tambah Zaidi, selain memudahkan urusan pembayaran bil utiliti dan lain-lain pembayaran, Sarawak Pay juga mempunyai ciri-ciri dimana pengguna boleh memindahkan wang serta pengeluaran tunai menerusi Ejen Bank BSN (EB BSN). 

Menerusi EB BSN, pengguna terutama rakyat di kawasan luar bandar boleh mengeluarkan wang tanpa perlu ke mesin juruwang automatik (ATM) di bandar-bandar.  

“Sarawak Pay merupakan aplikasi e-dompet pertama yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran tunai menerusi EB BSN bagi rakyat di luar bandar. 

“Ia agak inovatif dan idea ini adalah dari Ketua Menteri dimana beliau mahu perkhidmatan Sarawak Pay ini diperluaskan ke luar bandar,” katanya.

Ditanya faktor kepada pertumbuhan pesat Sarawak Pay, Zaidi berkata faktor utama adalah rebat tunai bagi setiap transaksi. 

Selain itu katanya, Sarawak Pay juga mesra pengguna serta selamat berbanding penggunaan tunai yang berisiko tercicir dan dicuri.