Gaji minimum RM1,200 bandar utama mulai 1 Februari depan
Tarikh : 13 Jan 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Kulasegaran (empat kanan) bertemu dengan penjaja di Emart Tudan semalam sambil diiringi Ling dan Dr Ting.TURUN PADANG: Kulasegaran (empat kanan) bertemu dengan penjaja di Emart Tudan semalam sambil diiringi Ling dan Dr Ting.

 

MIRI: Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama termasuk Miri akan bermula pada 1 Februari depan selaras dengan persetujuan mesyuarat kabinet.

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata, kerajaan memahami isu gaji yang membelenggu pekerja di bandar utama lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

“Ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura kerana gaji di sana lebih tinggi, namun kerajaan telah memutuskan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200,” katanya semasa mengadakan lawatan di Emart Tudan di sini, semalam.

Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menambah. pelaksanaan gaji minimum itu di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Bagi Sarawak, bandar raya utama yang disenaraikan melaksanakan gaji minimum adalah Kuching Utara, Kuching Selatan dan Miri.

Sementara itu, dasar kerajaan yang memperkenalkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai langkah perlindungan jangka panjang mendapat maklum balas positif daripada kumpulan sasar.

Kulasegaran telah mengadakan tinjauan dan bertemu sendiri dengan penjaja di Tamu Muhibbah dan Tamu Emart bagi menerangkan dasar kerajaan itu terus kepada rakyat.

“Sarawak boleh menjadi negeri perintis bagi pekerja sendiri mencarum PERKESO kerana daripada maklum balas diterima, mereka amat teruja untuk mencarum,” katanya.

Kulasegaran berkata, penjaja digalak mengikuti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang melayakkan mereka menerima pampasan sekiranya mengalami kecederaan atau masalah kesihatan ketika bekerja.

Meskipun bayaran hanya serendah RM13.10 sebulan, namun mereka dilindungi PERKESO dalam tempoh jangka panjang dan boleh menuntut pampasan.

“Inisiatif diperkenalkan untuk membolehkan PERKESO memperluaskan lagi khidmat perlindungan untuk golongan pekerja termasuk mereka yang bekerja sendiri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, penyertaan untuk skim itu adalah secara sukarela dan ahli boleh mendapat bantuan daripada PERKESO sekiranya kejadian tidak diingini menimpa.

Skim meliputi 19 sektor yang antaranya pengangkutan makanan dan barangan, pertanian, penternakan, perikanan, pemprosesan makanan, pembinaan, penjaja, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat, pemprosesan data, khidmat sokongan, khidmat kediaman, seni, kecantikan dan penjagaan kesihatan.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Dr Ting Tiong Choon dan Pengerusi DAP Long Lama Marcus Hugo.