Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Pembekal diminta lebih adil agih vaksin influenza kepada pengamal perubatan am - MMA
Tarikh : 12 Jan 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Gambar hiasan Gambar hiasan

KUCHING: Pengamal perubatan am (GP) di negara ini ketika ini berdepan masalah kekurangan mendadak bekalan vaksin influenza.

Influenza atau lebih dikenali sebagai 'flu' atau selesema merupakan penyakit berpotensi serius serta berisiko tinggi kerana jangkitannya yang boleh merebak dengan cepat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran menerusi kenyataanya hari ini berkata ketika ini ramai pengamal perubatan am menyuarakan rasa tidak senang hati mereka dengan pengagihan bekalan vaksin dan mendakwa pembekal memberi keutamaan kepada hospital swasta menyebabkan klinik-klinik GP dipinggirkan.

Menurut Dr Ganabaskaran, GP merupakan kumpulan terakhir akan menerima vaksin berkenaan sekiranya berlaku kekurangan bekalan.

Katanya, keutamaan diberikan kepada hospital swasta diikuti hospital swasta dan baki kira-kira 7,000 vaksin diagihkan kepada GP yang lebih mudah dan selesa diakses oleh rakyat.

Hospital swasta ujarnya, seharusnya terus memfokus kepada penjagaan pertengahan dan tinggi seperti dinyatakan dalam Akta Perkhidmatan dan Fasiliti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHFSA).

"GP orang pertama yang akan dihubungi pesakit dan rapat dengan komuniti seharusnya diberi keutamaan oleh pembekal tetapi dalam realiti ia tidak berlaku.

"Dianggarkan pesakit mendapatkan rawatan dengan GP di seluruh negara setahun ialah 70 juta dan hampir 80 peratus pesakit adalah pesakit berulang dan biasa serta majoriti berkeluarga," kata Dr Ganabaskaran.

Disebabkan itu, ujarnya MMA berharap pembekal akan memain peranan proaktif jika berlaku peningkatan kes penyakit tertentu yang boleh dicegah oleh pengamal perubatan am.

Beliau menegaskan keperluan pesakit mesti diberi keutamaan.

"Keselesaan akses kepada penjagaan kesihatan akan meningkatkan kecekapan dan akhirnya meningkatkan piawaian penyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini," tambahnya.