Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Artifak dari Gua Niah akan dibawa balik
Tarikh : 06 Feb 2020
 

 Abdul Karim menerima cenderamata daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dr Ghauth Jasmon (dua kanan).PENGHARGAAN: Abdul Karim menerima cenderamata daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dr Ghauth Jasmon (dua kanan).

 

BINTULU: Pada penghujung bulan ini, Sarawak akan membawa balik artifak dan tulang manusia prasejarah terawal yang ditemui di Gua Niah, antara warisan sejarah Sarawak yang dibuat kajian oleh University of Florida di Amerika Syarikat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau akan ke universiti itu untuk tujuan tersebut dan berharap pihak universiti terbabit akan mengembalikan warisan itu kepada Sarawak.

Mengimbas penemuan warisan sejarah Sarawak itu katanya, tulang-temulang manusia prasejarah itu merupakan tamadun awal manusia ditemui di Gua Niah dan pada masa itu kita tidak mempunyai kepakaran dan kelengkapan untuk membuat kajian.

Katanya, keadaan itu sekali gus telah menarik minat University of Nevada di Las Vegas menjalinkan kerjasama dan membuat kajian tentang penemuan tersebut.

“Hasil kajian mereka mendapati tulang manusia pra-    sejarah itu berusia dalam 40,000 tahun dan selepas kajian lengkap di universiti itu, sebuah lagi universiti iaitu University of Florida turut berminat membuat kajian sama,” ujarnya semasa ber-ucap merasmikan Persida-ngan Antropologi Linguistik Asia (CALA) 2020 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Justeru katanya, tulang tersebut telah dihantar ke universiti berkenaan dengan jumlah lebih daripada 100 tulang untuk kajian yang sama.

Selepas beberapa tahun katanya, Sarawak yang kini mempunyai universiti dan muzium yang sesuai berkehendakkan agar tulang itu dibawa balik dan berharap dengan jasa baik University of Florida, mereka akan dapat menghantar kembali tulang tersebut ke Sarawak.

“Kita akan mengadakan majlis menandatangani perjanjian penyerahan yang bersesuaian untuk penghantaran balik warisan sejarah Sarawak tersebut.

“Ia akan dilakukan pada penghujung bulan ini dan penghujung tahun ini kita juga akan mengadakan persidangan antarabangsa anjuran muzium yang lebih spesifik kepada Gua Niah serta pencapaian di Asia Tenggara,” tambahnya yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak.

Sejak dua tahun lepas kata-nya, Gua Niah merupakan tempat kegemaran untuk beberapa pihak universiti luar menjalankan kajian, antaranya, University of New South Wales, Australia telah membuat kajian selama dua tahun melihat kembali usia tulang manusia itu yang dikatakan bukan berusia 40,000 tahun sebaliknya lebih awal daripada itu iaitu tambahan 25,000 tahun lagi dengan usianya adalah 65,000 tahun.

“Ia mengujakan, khusus bagi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan saya berminat dengannya. Banyak yang boleh kita tawarkan dalam industri ini dan kita juga mempunyai muzium besar yang akan dilancarkan di Kuching pada penghujung tahun ini iaitu kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, fokus Kerajaan Sarawak adalah mempromosikan tarikan semula jadi kepada pelancong yang datang ke Sarawak yang bukan sebagai syurga beli-belah kerana kita tidak mempunyai pusat beli-belah besar memandangkan mereka yang ingin membeli-belah boleh ke Singapura.

“Mereka yang minat de-ngan alam semula jadi, gua, sungai dan kehijauan, mengkaji kebudayaan… inilah (Sarawak) tempatnya.

“Kita berbangga apa yang Sarawak ada kerana apabila bercakap mengenai pelancongan, ini antara yang ingin negeri ini promosikan seba-nyak yang mungkin kepada dunia luar,” katanya.