Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Sarawak Energy beri insentif, galak kakitangan guna Sarawak Pay
Tarikh : 05 Feb 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Sharbini dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy bersama pasukan petugas dan pelanggan Sarawak Pay merakam kenanganSharbini dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy bersama pasukan petugas dan pelanggan Sarawak Pay merakam kenangan


KUCHING: Sarawak Energy mempromosikan penggunaan aplikasi e-dompet, Sarawak Pay dalam kalangan pekerjanya menerusi promosi insentif kakitangan untuk meningkatkan bilangan pengguna aplikasi mudah alih dalam perbadanan itu.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili, insentif pekerja itu merupakan hadiah wang tunai daripada anugerah yang diterima syarikat baru-baru ini, atas kecemerlangan dalam perkhidmatan pengurusan.


Sarawak Energy katanya, memenangi anugerah Perak dalam kategori Agensi Utama Negeri untuk Trofi Ketua Menteri pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri tahun lepas.


"Kita menerima anugerah Perak pada 2019 untuk prestasi kita dalam tadbir urus dan dan penyampaian perkhidmatan, justeru mahu berkongsi pencapaian ini dengan menmbahagikan hadiah wang dalam kalangan semua pekerja kita yang mendaftar dengan Sarawak Pay.


"Kita komited untuk memajukan agenda ekonomi digital negeri dan pada masa sama, menggalakkan tenaga kerja pelbagai disiplin kita untuk kekal relevan dan cepat menyesuaikan diri dalam Revolusi Industri 4.0," katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Beliau berkata, Sarawak Energy memanfaatkan teknologi ke arah pendigitalan penjanaan tenaga, penghantaran pengagihan  dan rangkaian runcitnya.


Oleh itu, untuk mencapai proses kerja yang lebih cekap dan kos efektif dalam bidang tumpuan utama korporatnya, menurut beliau, Sarawak Energy turut memulakan inisiatif pemodenan perusahaan meliputi pelbagai aspek pengurusan perniagaan.


"Ia termasuk pengenalan pembayaran gaji bersepadu melalui Sarawak Energy People System (SEPS) serta kontrak dan pemerolehan  sistematik proses melalui Sarawak Energy e-Procurement (SEPRO) pada 2019.


"Ini adalah selaras dengan aspirasi kita untuk menjadi utiliti digital menjelang tahun 2025. Kita memanfaatkan teknologi dalam operasi harian kita selain mahu menunjukkan betapa pentingnya teknologi dan bagaimana digitalisasi adalah penyumbang utama untuk mencapai visi kita menjadi kuasa serantau," katanya.


Kira-kira 5,200 pekerja sepenuh masa Sarawak Energy akan menerima bayaran insentif sekali sebanyak RM108 apabila mereka membuat pendaftaran akaun Sarawak Pay.


Pada masa sekarang, aplikasi itu telah berjaya merekodkan pendaftaran kira-kira 3,000 pekerja sejak diperkenalkan pada pertengahan bulan Januari.


Penggunaan promosi Sarawak Pay secara menyeluruh itu sebagai platform pembayaran mudah alih tanpa tunai dalam menyokong usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan ekonomi digitalnya.


Sebagai sebahagian daripada usaha itu, bil elektrik Sarawak Energy juga boleh dibayar melalui Sarawak Pay.


Selain itu, Sarawak Pay turut diterima di kafeteria dan kios kopi di Menara Sarawak Energy iaitu ibu pejabat syarikat itu di sini.