Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Koronavirus Wuhan: Majikan tidak endah kesihatan dan keselamatan pekerja diambil tindakan
Tarikh : 05 Feb 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Nor Halim (dua kiri) menunjukkan kenyataan langkah-langkah pengawalan terhadap jangkitan Koronavirus bersama kakitangan JKKP lain dan wakil dari Malaysia Airport Sdn Bhd serta Jabatan Kesihatan Negeri. - Gambar oleh Roystein EmmorNor Halim (dua kiri) menunjukkan kenyataan langkah-langkah pengawalan terhadap jangkitan Koronavirus bersama kakitangan JKKP lain dan wakil dari Malaysia Airport Sdn Bhd serta Jabatan Kesihatan Negeri. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Mana-mana majikan di Sarawak yang tidak mengendahkan langsung dengan tidak menyediakan langkah pencegahan sewajarnya kepada pekerja dalam menghadapi situasi Koronavirus Wuhan, akan diambil tindakan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Sarawak Dr Nor Halim Hasan berkata, majikan yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, 1994 (Akta 514) iaitu denda RM50,000 atau dua tahun penjara.

"Ini kerana di bawah Akta ini, sudah menjadi kewajipan kepada majikan untuk menyediakan dan memastikan keselamatan serta kesihatan pekerja yang di bawah mereka.

"Bukan sahaja berkenaan Koronavirus tetapi semua penyakit berkaitan kesihatan pekerja, majikan yang gagal memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan tidak endah langsung dengan tidak menyediakan langkah sewajarnya akan diambil tindakan," katanya pada sidang media selepas program pemantauan bersama pengurusan Malaysia Airport Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.



Nor Halim berkata, majikan sekurang-kurangnya perlu menyediakan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada pekerja terutamanya mereka yang terdedah atau berhubung secara langsung dengan orang awam.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap majikan yang langsung tidak menyediakan langkah pencegahan sewajarnya semasa menghadapi situasi penyakit seperti Koronavirus Wuhan.

"Namun jika majikan ada menyediakan langkah pencegahan tetapi pekerja masih disyaki penyakit yang berlaku, kita akan siasat terlebih dahulu dan melihat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah mereka lakukan," katanya.

Nor Halim berkata setakat ini masih belum ada kes berkaitan majikan diambil tindakan di bawah Akta 514 berkaitan penyakit Koronavirus.

JKKP Sarawak katanya akan terus mengadakan tinjauan bersama majikan, khasnya yang terlibat secara langsung dengan orang awam iaitu di pintu masuk ke negeri ini.

Hari ini, beliau memberitahu jabatan mengadakan lawatan serta taklimat di LTAK bersama pekerja-pekerja di bawah Malaysia Airport Sdn Bhd, untuk meninjau langkah-langkah yang diambil bagi pengawalan virus berkenaan terhadap pekerja di barisan hadapan.

"Misalnya kita mahu memastikan peralatan seperti PPE disediakan kepada pekerja kerana mereka terdedah secara langsung dan kita juga melihat prosedur yang dikenakan kepada pekerja.

"Pada hari ini, Malaysia Airport sudah melaksanakan prosedur mereka dan mengambil langkah-langkah pencegahan terutama kakitangan mereka yang terdedah secara langsung dengan penumpang," katanya. 

Beliau menjelaskan di bawah Akta 514, ia tertakluk kepada semua majikan di Malaysia kecuali mereka yang bekerja atas kapal dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Apa sahaja jenis pekerjaan yang ada majikan ia tertakluk kepada akta ini tanpa mengira pekerja mereka adalah warganegara asing mahupun tempatan," katanya.