Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

SST terhadap Petronas tidak menyalahi undang-undang
Tarikh : 05 Feb 2020
 
 JC Fong keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding. Turut kelihatan Hasidah dan Idris.BERWIBAWA: JC Fong keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding. Turut kelihatan Hasidah dan Idris.

 

KUCHING: Cukai jualan negeri (SST) yang dikenakan terhadap Petronas tidak menyalahi undang-undang dan tidak menyalahi Artikel 95B(3) Perlembagaan Persekutuan.

Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong berkata, artikel tersebut memberi kuasa kepada badan perundangan negeri untuk menggubal dan meluluskan undang-undang mengenakan cukai jualan.

Menurut artikel tersebut juga, apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri di negeri Sabah atau Sarawak hendaklah dianggap sebagai antara perkara-perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

“Kuasa untuk mengenakan SST diberikan terutamanya melalui Artikel 95B(3) dan bukannya di bawah Artikel 74(2).

“Sebarang sekatan atau syarat untuk mengenakan SST mesti hanya dinyatakan oleh 95B(3) dan apa-apa tafsiran daripada Artikel 95B(3) yang dilihat menghakis atau mengurangkan susunan perlembagaan ini mesti dielakkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berhujah bagi perbicaraan kes yang berlangsung semalam, iaitu kes Petronas yang memohon semakan kehakiman untuk membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam SST.

Dalam pada itu, Fong juga menegaskan bahawa SST bukanlah cukai eksport.

Sebaliknya, ia merupakan cukai yang dikenakan terhadap penjualan produk petroleum di Sarawak.

“Dalam hal ini, penjualan produk petroleum tersebut mengambil tempat apabila ia diletakkan di atas kapal untuk tujuan penghantaran kepada pembeli di luar Sarawak.

“Penjualan produk tersebut berlaku di Sarawak dan cukai dikenakan apabila produk dihantar ke titik eksport di Pelabuhan Bintulu dan Miri,” jelas beliau.

“Justeru, Petronas didakwa terlibat dalam penjualan produk petroleum dan tertakluk di bawah Seksyen 8 untuk pembayaran SST,” ujarnya.

Oleh itu, dalam hal ini ujarnya, walaupun sudah terdapat cukai dikenakan oleh kerajaan persekutuan terhadap petroleum, SST merupakan cukai berlainan yang dikenakan terhadap penjualan produk petroleum di Sarawak.

Beliau juga memaklumkan mahkamah, SST merupakan liabiliti bagi setiap individu atau syarikat berdaftar yang boleh dikenakan cukai dan Petronas tidak boleh menafikan liabiliti itu.

Semalam merupakan hari kedua bagi perbicaraan kes semakan kehakiman tersebut.

Mahkamah Tinggi semalam juga menetapkan 13 Mac depan untuk memberikan keputusan kes tersebut.

Hakim Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua belah pihak dalam kes ini.

Turut hadir untuk memberikan sokongan di mahkamah semalam adalah Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang dan Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang.