Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

2,871 bayi lahir di Sarawak bulan lepas, hanya 51 peratus tampil memohon EFS - Fatimah
Tarikh : 04 Feb 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Gambar hiasan

KUCHING: Seramai 1,472 orang bayi telah didaftar di bawah program Endowment Fund Sarawak (EFS) sepanjang Januari 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Sarawak pada bulan lepas merekodkan 2,871 kelahiran, namun daripada jumlah itu hanya 51.2 peratus yang tampil membuat permohonan EFS. 

"Pihak kita turut mengadakan mesyuarat untuk membincangkan beberapa perkara berbangkit dengan EFS seperti sekiranya ibu tunggal layak untuk memohon untuk anaknya, ibu bawah umur dan sebagainya.

"Perbincangan ini melibatkan Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak, Pejabat Kewangan Negeri Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara, Bank Islam Malaysia Berhad dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di pejabat di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta bagi tujuan EFS untuk setiap anak Sarawak yang lahir mulai 1 Januari 2019.

Katanya, penerima hanya boleh mengeluarkan dana EFS berjumlah RM1,000 selepas mencapai usia 18 tahun. 

Pada 2019, sebanyak 36,117 kelahiran baru dicatatkan di Sarawak, dimana pemegang status K adalah 33,304.

Mengikut statistik kelahiran anak Sarawak 2019, jumlah kelahiran tertinggi dicatatkan di Kuching, diikuti Sibu, Miri, Bintulu, Sarikei, Limbang, Sri Aman, Kapit, Mukah, Serian, Betong dan Samarahan.

Bagaimanapun, hanya 80.26 peratus iaitu seramai 26,731 mendaftar untuk EFS di negeri ini sehingga 31 Disember 2019 yang diuruskan oleh JPN dan Bank Islam.

Tiga bahagian mencatatkan peratus pendaftaran EFS terendah adalah Bintulu, Kapit dan Miri.

Sementara itu, kementerian akan mengendalikan Insentif Ibu Bersalin (IIB) berjumlah RM450 bagi setiap ibu yang melahirkan anak pada 1 Januari 2020.

Syarat-syarat kelayakan bagi insentif berkenaan adalah ibu mestilah berwarganegara Malaysia, ibu pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus 'K', melahirkan bayi di dalam atau luar Sarawak dan usia kandungan mesti 22 minggu dan ke atas.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan dalam talian di http://bit.do/iib2020 atau kunjungi pejabat JKM bahagian, daerah atau Pejabat Residen dan Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak.