Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Betong

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak gesa majikan patuhi perintah gaji minimum
Tarikh : 04 Feb 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 
Awang Raduan (tiga kiri) menunjukkan dokumen berkenaan penguakuasaan Perintah Gaji Minimum 2020 bersama kakitangan JTK Sarawak di Kuching hari ini. Awang Raduan (tiga kiri) menunjukkan dokumen berkenaan penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum 2020 bersama kakitangan JTK Sarawak di Kuching hari ini.


KUCHING: Semua majikan dalam kawasan majlis bandaraya dan majlis perbandaran di negeri digesa untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara berkuat kuasa pada 1  Februari lalu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata,  perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum  sebanyak RM1,200 sebulan atau RM 5.77 sejam kepada pekerja yang bekerja di mana-mana kawasan majlis bandaraya atau majlis perbandaran.

Manakala di kawasan selain kawasan majlis bandaraya atau majlis perbandaran, katanya, kadar gaji minimum kekal  pada RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

"Majikan yang tidak membayar gaji pokok seperti yang dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum 2020 kepada pekerjanya merupakan satu kesalahan. Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja," katanya semasa mengadakan Sesi Perjumpaan Pengarah Tenaga Kerja Sarawak bersama Media Berkaitan Perintah Gaji Minimum 2020 di Tingkat 13, Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mahkamah boleh memerintahkan supaya majikan itu membayar perbezaan antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok  yang dibayar oleh majikan kepada pekerja dan bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan kadar gaji minimum.

"Dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, denda harian yang tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Sementara dalam hal suatu kesalahan yang berulang, denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun," katanya.

Awang Raduan berkata, gaji minimum yang dimaksudkan dalam Perintah Gaji Minimum 2020 adalah gaji pokok seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 atau Akta 732 di mana ia terpakai  di semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan kecuali perkhidmatan domestik.

"Perkhidmatan domestik ini adalah seperti pembantu rumah, tukang  kebun, tukang masak dalam rumah persendirian," ujarnya.

Mengulas lanjut, gaji minimum pekerja yang tempat bekerja adalah dalam mana-mana kawasan pentadbiran majlis bandaraya atau majlis perbandaran sebagaimana yang dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum 2020, kadar gaji bulanannya adalah RM1,200.

"Bagi pekerja yang gaji harian iaitu mereka yang bekerja enam hari seminggu, kadar gaji harian minimumnya ialah RM46.15 manakala mereka yang bekerja lima hari seminggu (RM55.38) dan mereka yang bekerja empat hari seminggu (RM69.23) sementara mereka yang bekerja ikut jam,  kadar gaji minimum sejamnya ialah RM5.77.

"Bagi pekerja yang tiada gaji pokok tapi dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen yang tempat kerjanya adalah dalam mana-mana kawasan pentadbiran majlis bandaraya  atau majlis perbandaran sebagaimana diperintah dalam gaji minimum 2020, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada RM1,200," ujarnya.

Sementara gaji minimum pekerja yang  tempat kerjanya adalah selain daripada kawasan pentadbiran majlis bandaraya atau majlis perbandaran seperti mana yang  dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum 2020, kata beliau, kadar gaji bulan  minimumnya ialah RM1,100.

'Bagi pekerja yang berkerja enam hari seminggu, gaji harian minimumnya ialah RM42.31 manakala mereka yang bekerja lima hari seminggu (RM50.77) dan mereka yang bekerja empat hari seminggu (RM63.46) sementara mereka yang bekerja ikut jam, gaji minimum untuk satu jam ialah RM5.29.

"Pekerja yang tiada gaji pokok tapi dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen yang tempat kerjanya ialah selain  daripada kawasan pentadbiran majlis bandaraya dan majlis perbandaran sebagaimana  yang dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum 2020, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada RM1,100," ujarnya.

Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,200 sebulan di bandar utama  di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis  perbandaran manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama berkuat kuasa  1 Februari.

Di Sarawak, kawasan majlis bandaraya yang melaksanakan Perintah Gaji Minimum 2020 ialah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Majlis Bandaraya Miri, manakala kawasan majlis perbandaran di Kota Samarahan, Padawan, Sibu dan Bintulu.