Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2018
Versi 8.1.2
Bincang Cara Tingkat Prestasi Akademik Anak-Anak
Tarikh : 19 Nov 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-11-19

BETONG: Ibu bapa khasnya di luar bandar harus mengadakan perbincangan teratur dengan pihak sekolah dan guru dalam usaha meningkatkan prestasi akademik anak-anak mereka.

Timbalan Ketua menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain mesyuarat rasmi, penganjuran majlis seperti makan malam amal dan sukan tahunan adalah platform terbaik untuk tujuan tersebut.

Tegasnya, setiap pihak harus memainkan peranan dan bekerjasama menyelesaikan apa jua permasalahan yang dihadapi demi meningkatkan kecemerlangan pelajar.

“Kita harus bersatu dalam usaha ini kerana kita mahu pelajar Dayak di luar bandar mendapat keputusan yang cemerlang sebagaimana yang dicapai pelajar di bandar.

“Jika anak-anak kita memperoleh keputusan cemerlang kita dapat memastikan mereka berdiri sama tinggi dan menjadi antara yang terbaik dalam kalangan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah St John, Betong di sini malam kelmarin.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, beliau, ADUN Layar Gerald Rentap dan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat sentiasa komited memberi bantuan yang diperlukan.

Menurutnya, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar bandar juga diberi perhatian sewajarnya.

“Mereka harus mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris, bukan hanya setakat lulus dalam peperiksaan sahaja bagi membolehkan mereka mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meluluskan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 untuk membeli buku teks dan buku latihan bahasa Inggeris untuk perpustakaan sekolah tersebut.

Pada masa sama Uggah turut menasihati warga guru mengadakan pertandingan menulis, membaca dan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menyentuh mengenai masalah liputan Internet di kawasan itu, beliau menjelaskan, masalah tersebut akan dibawa kepada pihak berkuasa berkaitan untuk ditangani.

“Apabila kita mempunyai liputan Internet yang baik nanti, saya berharap ia tidak akan disalah guna untuk menyebarkan perkara-perkara tidak baik,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut meluluskan geran MRP sebanyak RM20,000 kepada PIBG bagi membantu persatuan tersebut menjalankan aktiviti pada tahun depan.

Malah, sekolah itu juga pada awal tahun ini menerima geran RM300,000 daripada Uggah.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu, Pengerusi PIBG Sekolah Rendah St John, Betong Tuing Gumba dan tetamu kehormat lain.