Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2018
Versi 8.1.2
Pertanian Moden Boleh Tambah Pendapatan Pesara Guru
Tarikh : 26 Nov 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-11-25

BETONG: Pesara guru boleh meraih pendapatan tambahan dengan menceburi bidang pertanian moden, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, sistem fertigasi dan hidroponik adalah paling sesuai kerana tidak memerlukan banyak ruang dan tenaga.

Beliau mencadangkan demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan SK St Christopher, Debak petang Khamis lepas.

Uggah yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kedua-dua sistem tersebut telah dikenal pasti berkesan dapat menghasilkan hasil tuaian sayur dan buah-buahan berkualiti tinggi dan mempunyai permintaan dalam pasaran.

Mereka yang berminat katanya, boleh mendapat nasihat dan runding khidmat daripada Jabatan Pertanian.

“Kerajaan sekarang secara aktif membangun dan mempromosikan pertanian moden kepada pekebun kecil dan sektor swasta berskala besar.

“Ini bagi mengukuhkan lagi strategi sebagai pengeluar makanan menjelang 2030,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Uggah menggesa sekolah di kawasan luar bandar agar tidak hanya memfokuskan kepada kecemerlangan akademik, tetapi menyeimbangkannya dengan kokurikulum dan aktiviti kebudayaan.

“Mereka mesti mendapat keseimbangan sebagai seorang pelajar agar membesar dan menjadi warganegara yang berguna kepada negara.

“Bukan sekadar mendapat pendidikan tetapi juga mesti menjaga kesihatan tubuh badan melalui sukan dan permainan.

“Mereka perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap adat dan budaya masing-masing dan nilai positif agar dapat mewariskannya kepada generasi seterusnya,” tambahnya.

Pada majlis itu, Uggah turut menawarkan insentif peribadi berjumlah RM1,000 kepada setiap pelajar dari konstituensi Bukit Saban yang mendapat 6A dalam UPSR tahun ini.

Sebagai tambahan, beliau mengumumkan RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan geran sebanyak RM15,000 kepada sekolah tersebut bersama sembilan unit penyaman udara.