Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2018
Versi 8.1.2
Inisiatif Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan Di DUN Layar
Tarikh : 26 Nov 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-11-25

BETONG: Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan N.36 Layar adalah langkah proaktif yang dirancang untuk mencari hala tuju lebih berkesan dalam mengukuhkan kecemerlangan pendidikan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu berharap agar lebih banyak kejayaan dicipta oleh para pelajar dari sekolah-sekolah di konstituensinya.

“Saya ingin melihat kejayaan dicapai oleh pelajar kita dengan cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam yang diambil termasuk UPSR, PT3, SPM dan STPM selain melahirkan ramai graduan yang berjaya.

“Oleh itu, kesinambungan daripada program ‘town hall’ yang dianjurkan pada Oktober lepas, kita telah merancang penubuhan jawatankuasa bertindak bagi meneruskan usaha dan hala tuju pendidikan yang lebih tersusun dalam DUN Layar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan N.36 Layar yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Augustine di sini, kelmarin.

Rentap berkata, kemenjadian murid adalah tanggungjawab bersama yang harus dipikul dan diberi penekanan untuk melahirkan individu yang berketerampilan dan cemerlang.

“Kita amat mengambil berat tentang potensi pelajar dan keputusan yang dicapai oleh mereka akan melibatkan prestasi sekolah-sekolah di sini.

“Oleh itu, penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa harus diberi penekanan dalam mendidik anak-anak mereka untuk berjaya dalam pendidikan.

“Kita akan menggunakan platform jawatankuasa ini bagi menentukan pencapaian keputusan dapat dilonjakkan ke tahap yang lebih cemerlang.

“Pada masa sama, kita boleh berbincang dan berkerjasama untuk mencapai kesepakatan demi membangunkan pendidikan di Betong,” tambahnya.

Dalam jawatankuasa tersebut, Rentap dilantik selaku penaung, manakala Residen Bahagian Betong Friday Belik dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Betong Supian Ekram diberi peranan sebagai penasihat.

Pengetua SMK St Augustine Paul Langgang pula dilantik sebagai pengerusi dan Penolong PPD Aleksey Aman selaku setiausaha dan James Agat Digat sebagai bendahari.

Jawatankuasa tersebut juga dianggotai oleh para pengetua dan guru besar serta Yang Dipertua PIBG sekolah.