Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2018
Versi 8.1.2
Warga Pendidik Diseru Depani Arus Pendidikan Lebih Dinamik
Tarikh : 26 Nov 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-11-24

BETONG: Warga pendidik diseru mendepani arus pendidikan lebih dinamik bagi menyumbang ke arah melonjakkan kecemerlangan pendidikan di sini.

Pegawai Pendidikan Daerah Betong Sufian Ekram mahu kesanggupan setiap warga pendidikan memberi sumbangan diterjemahkan dalam pencapaian keputusan diperoleh anak didik mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang berdaya saing.

“Saya menyeru kepada semua warga pendidik di sini turut serta mengubah dan bergerak ke depan mendepani pendidikan bagi melonjakkan pencapaian ke arah kecemerlangan.

“Saya berusaha membangkitkan aura kecemerlangan dalam diri setiap warga pendidikan bukan sahaja kalangan guru malah setiap dituntut menyumbang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Warga Pendidikan 2018 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong di sini kelmarin.

Tambahnya, organisasi sekolah diharap dapat berterusan menggerakkan staf dan anak didik turut sama merealisasikan harapan menyumbang kecemerlangan.

“Kita jadikan mereka berjaya sebagai motivasi melaksanakan tanggungjawab dan tugasan seiring dengan tuntutan tugas yang semakin mencabar dalam era masa kini,” katanya.

Majlis anjuran Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Betong itu bagi menghargai warga pendidikan menyumbang ke arah kemajuan pendidikan, kepimpinan cemerlang dalam kokurikulum dan kurikulum.

Antara disampaikan pada majlis itu ialah sijil penghargaan pesara kerajaan, sumbangan khairat kematian, sijil sekolah menengah, sijil sekolah rendah, anugerah usaha cemerlang kokurikulum dan sukan serta sijil pertandingan guru inovatif.

Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong Aleksey Aman, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Bahagian Betong Ujai Sambau, Yang Dipertua MGB Massor Ali, Timbalan Pengerusi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Betong Ng Thian Heng, pengetua-pengetua serta guru-guru besar daerah Betong.