Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2018
Versi 8.1.2
Kontraktor Diingat Laksana Projek Mengikut Spesifikasi
Tarikh : 03 Dec 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-12-03

BETONG: Kontraktor yang melaksanakan projek infrastruktur terutama di luar bandar diingatkan supaya melaksanakan projek mengikut spesifikasi.

Perkara ini ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas tinjauan mesra ke enam rumah  panjang di Anyut dalam kawasan Bukit Saban semalam.

Tegas Uggah, pastikan tidak ada pemotongan dibuat seperti penggunaan bahan tidak berkualiti semata-mata untuk mengaut keuntungan lebih.

“Apabila projek dianugerahkan, ia disertakan dengan Senarai Kuantiti (BQ), dokumen mengenai perincian kerja, harga serta terma dan syarat.

“Penerima faedah turut diberi salinan untuk mereka memantau pelaksanaan.

“Saya telah memberitahu mereka untuk melapor kepada saya atau Pejabat Residen dan Pejabat Daerah jika mereka ada isu untuk dikemukakan terutama penggunaan bahan kerja yang tidak bermutu atau kerja dibuat tidak kemas,” katanya.

Tambah Uggah, semua kontraktor dan subkontraktor menjangkakan keuntungan dalam pelaksanaan projek, tetapi jangan terlalu tamak.

“Rakyat yang sepatutnya menikmati projek akan susah jika penggunaannya singkat.

“Kami sebagai ahli politik kawasan juga akan terjejas apabila secara tidak adil dituduh terlibat dengan kontraktor untuk keuntungan peribadi,” katanya.  

Jelas Uggah lagi, apabila tiba pilihan raya, pembangkang pasti mengeksploitasi kelemahan atau kegagalan pelaksanaan projek ini untuk menentang kerajaan.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menjelaskan adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat rakyat luar bandar memiliki fasiliti dan infrastruktur asas yang lebih baik tetapi sikap tamak manusia melangkaui tujuan.

Sehubungan itu, Uggah memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang tidak memenuhi spesifikasi projek.

Berhubung perkembangan lain, Uggah menasihati penduduk rumah panjang supaya mengelak daripada menggunakan khidmat mereka yang tidak berkelayakan dalam pendawaian elektrik.

Katanya, banyak insiden kebakaran rumah panjang berpunca daripada masalah pendawaian.