Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2745480
Kemaskini Pada: 17 Jul 2019
Versi 8.2.1
Tidak Praktikal Miliki Hanya Satu Kanun Tanah Negara: Uggah
Tarikh : 10 Dec 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-12-10

BETONG: Tidak praktikal untuk memiliki hanya satu kanun tanah negara bagi diguna pakai di seluruh Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, cadangan itu dikemukakan kepadanya oleh seorang anggota kabinet persekutuan dalam satu pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, cadangan itu bukan sahaja tidak munasabah tetapi tidak mengambil kira kelainan dan kerumitan dalam isu-isu tanah di negeri ini.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu mendedahkan, beliau memberitahu menteri berkenaan bahawa Sarawak mempunyai Kanun Tanah sendiri berdasarkan Perlembagaan Negeri.

“Kita ada kelainan dan kerumitan kita seperti tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), selain itu kita ada isu-isu berkaitan seperti Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

“Maka itu, kanun tanah negara yang satu adalah tidak praktikal dan tidak menjadi isu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Entiggan di Munggu Gernis, Spaoh, di sini kelmarin.

Uggah berkata, perkara itu merupakan satu contoh kenapa negeri ini perlu diperintah oleh pemimpinnya sendiri.

“Kita juga ada rancangan dan program kita sendiri untuk menyelesaikannya dan melindungi hak negeri ke atas sumber dan kekayaannya sendiri,” jelasnya.

Mengenai isu tanah, Uggah mengingatkan rakyat untuk tidak mudah percaya dengan posting yang kerap muncul dalam media sosial bahawa kerajaan GPS akan terus merampas tanah penduduk peribumi tanpa pampasan yang adil jika ia perlu berbuat demikian bagi tujuan projek pembangunan yang besar.

Beliau menolak perkara itu sebagai sekadar retorik pembangkang untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Jangan percaya segalanya yang anda baca di sana. Sahkan dahulu. Terdapat orang tertentu yang setiap hari nampaknya taksub dengan kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya.

“Mereka mesti mencari kesalahan dan isu atau mereka-rekakanya jika mereka tidak dapat menemuinya, hanya untuk memuaskan hati mereka,” tegasnya.

Mengenai pengukuran perimeter yang sedang dijalankan ke atas tanah NCR, Uggah berkata, Kerajaan Sarawak sudah memperuntukkan RM40 juta bagi perkara itu dalam usaha membantu pemilik tanah.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penoreh getah bahawa mereka berhak menerima bantuan kewangan tertentu ekoran penurunan harga komoditi  sekarang.

“Saya sedih kerana ramai masih tidak tahu mengenai perkara ini, sila mohon untuk kad IPG bagi mengenal pasti anda sebagai pemilik atau penoreh yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM),” ujarnya.

Pada masa sama beliau menasihati mereka menyimpan semua resit jualan bagi membolehkan mereka menuntut bantuan.

Menurutnya, di bawah Skim Insentif Pengeluaran Getah, mereka dapat membuat tuntutan bagi satu ringgit untuk setiap kilogram yang mereka jual.

Uggah berkata, mereka harus menyemak dengan Jabatan Pertanian terdekat atau pejabat LGM untuk maklumat lanjut.

Beliau yang diiringi Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu, kemudian melawat dua rumah panjang di kawasan tersebut.