Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2818984
Kemaskini Pada: 14 Ogos 2019
Versi 8.2.2
Masyarakat Diharap Peka Jaga Kebersihan, Kesihatan Diri
Tarikh : 26 Dec 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2018-12-24

Oleh Saleman Senin

BETONG: Amalan kebersihan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat diberi penekanan dalam Kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan Tanpa Polisterin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu mengharapkan masyarakat lebih peka untuk menjaga kebersihan dan kepentingan kesihatan diri masing-masing.

Katanya, kerajaan menganjurkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan Tanpa Polisterin bertujuan menggalakkan pengurangan sampah yang mencemar alam semula jadi dan penggunaan polisterin yang berbahaya kepada kesihatan.

“Dengan adanya sokongan terhadap kempen yang dijalankan dapat merealisasikan agenda kerajaan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang amalan yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan Tanpa Polisterin yang berlangsung di Dewan Heliconia, Majlis Daerah Betong dekat sini semalam.

Tambahnya tanpa penggunaan beg plastik boleh menggalakkan orang ramai membawa beg atau bakul yang direka cipta sendiri bagi membawa barangan yang kita beli.

“Ia juga dapat mempromosi hasil kraf tangan masyarakat setempat seperti bakul atau beg bagi membawa barang.

“Pada masa yang sama, kebersihan persekitaran juga terjaga,” ujarnya.

“Saya juga difahamkan sisa sampah yang dikeluarkan atau dibuang oleh satu isi rumah mencecah 10 kilogram pada purata satu hari.

“Pelaksanaan itu kelak dapat mengurangkan kuantiti sampah dan mengelakkan pencemaran,” tegasnya.

“Bagi kita di Betong dan kawasan pentadbiran Majlis Dareah Betong termasuk daerah Spaoh, Debak, Pusa, Beladin dan Maludam, Hari Tanpa Beg Plastik adalah pada setiap Sabtu.

“Kita juga menekankan kepada semua pemilik premis pasar raya untuk memberi sokongan pada kempen yang dijalankan.

“Selain itu penggunaan bekas polisterin adalah ditegah sama sekali untuk premis makanan menggunakannya sebagai pembungkus makanan,” jelasnya.

Sempena kempen tersebut, pihak MDB telah menggariskan beberapa undang-undang untuk diguna pakai dalam penguatkuasaan pelaksanaan kempen.

Pemilik pasar raya dan makanan tidak lagi dibenarkan menggunakan beg plasik sebagai pembungkus makanan.

Mereka juga menetapkan tiga peringkat untuk larangan penggunaan polisterin iaitu penguatkuasaan peringkat pertama difokuskan untuk pendidikan di mana jika didapati pengusaha makanan menggunakannya tindakan rampas akan dilaksanakan.

Untuk peringkat kedua penguatkuasaan jika masih ditemui penggunaannya, pengusaha akan diberi amaran termasuk rampas polisterin tetapi tiada sebarang kompaun dikenakan.

Namun bagi penemuan kali ketiga penggunaan polisterin, penguatkuasaan dengan tindakan akan diambil termasuk merampas polisterin, kompaun dan surat amaran akan dikeluarkan kepada pengusaha premis terbabit.

Pada masa yang sama pelaksanaan larangan merokok di kawasan larangan dan kedai makanan akan dikuatkuasakan mulai Januari 2019.

Penguatkuasaan ini termasuk semua kawasaan di bawah jagaan MDB.

Turut hadir Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling, ahli Majlis dan wakil-wakil pengusaha premis yang dijemput.