Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2478043
Kemaskini Pada: 21 Mac 2019
Versi 8.2.0a
Pengumuman projek mega bukan janji kosong - Ketua Menteri Sarawak
Tarikh : 13 Mar 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

Abang Johari menerima cenderahati daripada pemimpin masyarakat Iban dan Melayu yang baru dilantik Richard (kiri) dan Piee (dua kiri) serta Penghulu Goh Leng Tong (tiga kiri) sambil disaksikan Uggah (kanan).

 

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyelar tindakan pihak yang menuduhnya sekadar berjanji manis atas pengumuman projek-projek pembangunan khususnya projek mega.

Sambil menekankan ia bukan omong kosong, Abang Johari berkata setiap projek yang bakal dilaksanakan akan memakan sedikit masa kerana terdapat beberapa prosedur perlu diikuti.

"Kami memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua tahun untuk menyedia dan membuka dan menganugerahkan tender sebelum projek dapat dilaksanakan.

"Saya harap rakyat dapat bersabar dengan kami," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena dengan lawatannya ke Bahagian Betong pada Isnin.

Abang Johari berkata antara yang dipersoalkan adalah pengumuman untuk mewujudkan lapangan terbang di Betong dan projek bas elektrik untuk bandar raya Kuching.

"Kita baharu sahaja melancarkan bas elektrik untuk Kuching dan merancang untuk mendapatkan beberapa lagi termasuk jenis hidrogen. Terdapat pihak yang ragu-ragu tetapi bas itu sudah ada sekarang.

"Kita juga sudah menempah pesawat pengangkut Cessna yang boleh menampung tiga kontena untuk digunakan di Lapangan Terbang Betong yang dicadangkan," katanya.

Beliau menambah, dana sebanyak RM101 juta sudah diperuntukkan untuk lapangan terbang tersebut. 

"Selagi kerajaan GPS memerintah di negeri ini, semua projek yang diumumkan akan dijalankan seperti mana yang dijanjikan," katanya.

Sementara itu, beberapa projek pembangunan bernilai RM650.3 juta diluluskan untuk bahagian Betong dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Ini termasuk RM199.5 juta untuk beberapa batang jalan dan RM102.4 juta untuk projek bekalan air, yang sedang dilaksanakan atau bakal dilaksanakan. 

Dalam majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan projek baru bernilai RM33 juta tersebut yakni meliputi RM18.5 juta untuk pembinaan jalan raya dan RM10 juta untuk projek tebatan banjir di Betong.

Beliau berkata semua projek berkenaan amat penting kerana bahagian itu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian moden.

Beliau pada majlis sama turut menyampaikan surat pelantikan kepada pemimpin masyarakat seperti Temenggong Richard Mulok Entring untuk masyarakat Iban dan Temenggong Piee Alwi untuk masyarakat Melayu.

Pada masa yang sama, Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membangunkan potensi pelancongan Betong.

"Kami mempunyai Bukit Sadok yang merupakan kubu terakhir untuk pejuang nasionalis Dayak Iban Rentap dalam perjuangannya menentang terhadap 'White Rajah Brooke'.

"Ini adalah beberapa sejarah penting yang hebat selain persekitaran yang indah dan sejahtera di sini," katanya menambah.

Beliau berkata dengan adanya Jalan Pesisir yang turut melalui kawasan Betong, ia akan juga menjadi tarikan istimewa kepada pelawat untuk berkunjung.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menambah bahawa Betong kini memerlukan lebih banyak projek perumahan mampu milik untuk rakyatnya.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.