Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2745687
Kemaskini Pada: 17 Jul 2019
Versi 8.2.1
Galak kontraktor Bumiputera terlibat dalam projek besar
Tarikh : 22 Apr 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

UNTUK ALBUM: Abang Johari ditemani Fadzill dan Ismail merakam kenangan bersama penerima Anugerah Kontraktor Cemerlang.

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini sedang menyusun atur mekanisme yang  membolehkan kontraktor Bumiputera terlibat sama dalam tender terbuka membabitkan projek berskala besar yang dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Negeri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, susun atur yang direka itu dapat mengasingkan kerja dalam pakej yang besar khas untuk kontraktor Bumiputera menerusi tender terbuka.

Malah tegasnya, ini membolehkan kontraktor Bumiputera bersaing sesama sendiri secara sihat dalam mendapatkan tender.

“Ini pendekatan kita dan berharap ia dapat memberi kesan yang baik kepada cara-cara kita mengagihkan kerja kepada kontraktor Bumiputera di negeri ini,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak Ke-20 2019 di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Pada masa sama Abang Johari memberitahu, beliau sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan pemimpim PKMM, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).

“Selepas mesyuarat itu saya telah memanggil pegawai kewangan negeri untuk mereka satu pendekatan tender.

“Di mana projek besar yang kita laksanakan di Sarawak 30 peratus daripada kerja tersebut dibuka khas untuk kontraktor Bumiputera supaya Bumiputera sama-sama bersaing untuk kerja dalam pakej yang besar,” katanya sambil menambah, pendekatan itu telah dilaksanakan di Sarawak Energy Berhad (SEB).

Dan sekarang ini, jelasnya, pihak kewangan negeri sedang mereka kaedah atau susun atur untuk membuka cara-cara tender di mana sebahagian daripada kerja yang boleh dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera dibuka khas untuk Bumiputera sahaja.

Selepas mekanisme dan prosedur itu diperolehi, Abang Johari berkata, pihaknya akan memanggil kesemua pimimpin pertubuhan kontraktor Bumiputera untuk bermesyuarat bagi mendapatkan maklum balas sama ada bersetuju dengan cara tersebut atau sebaliknya.

“Inilah dasar Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mana kita beri peluang kepada semua kontraktor supaya mereka dapat projek menerusi kerja dijalankan di negeri ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata Sarawak akan menjadi lebih ‘sibuk’ dalam tempoh enam tahun dari sekarang apabila kerajaan negeri akan memfokuskan pembangunan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar.

Dedahnya, peruntukan yang digunakan sepanjang tempoh tersebut mencecah RM16 bilion yang melibatkan pelbagai projek pembangunan berkaitan.

Malah, beliau berkata setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan disediakan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk Ahli Parlimen GPS, lebih RM700 juta setahun untuk melaksanakan projek di kawasan masing-masing.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan memberi sebidang tanah kepada PKMM Sarawak untuk membina pejabat persatuan tersebut.

Justeru, beliau mengingatkan supaya kontraktor menjalankan kerja dengan penuh amanah dan menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Kontraktor Cemerlang yang diterima Khazanah Enterprise, Syarikat Maaz General Trading, Syarikat Boh dan Chu, Zul Global Company, Wilma Enterprise, MCP Resources Sdn Bhd, Vista Trade Sdn Bhd dan Kurnia Matang Sdn Bhd.

Hadir sama bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin, Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Presiden PKMM Datuk Mohamed Fadzill Hassan, Yang Dipertua PKMM Sarawak Datuk Ismail Suut dan tetamu kehormat lain.

oleh Rusnan Mustafa