Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2613323
Kemaskini Pada: 16 Mei 2019
Versi 8.2.1
Tujuh kes sindiket minta nombor TAC bank dilaporkan, kerugian RM21,000
Tarikh : 23 Apr 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sebanyak tujuh kes sindiket minta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bank dilaporkan dengan melibatkan kerugian RM21,000 di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 21 April tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, jumlah kerugian tertinggi yang dialami mangsa dalam sindiket ini adalah sebanyak RM7,000.

Dedahnya lagi, masyarakat Cina merekodkan jumlah tertinggi iaitu empat kes yang menjadi mangsa penipuan sindiket TAC ini diikuti Melayu dua kes dan Melanau satu kes yang mana kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 46 tahun.

“Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak memberi nombor TAC kepada sesiapa sahaja dan perlu menukarkan kata laluan perbankan dalam talian dengan segera.

“Malah, hubungi pihak bank jika dapati duit dalam akaun berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut tentang modus operandi sindiket ini, Mustafa berkata mangsa mendapat nombor TAC dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sedangkan pengguna tidak buat apa-apa transaksi sebelum itu.

Jelasnya, suspek kemudiannya akan menghubungi mangsa sama ada menerusi SMS, WhatsApp atau panggilan WhatsApp dan memberitahu kononnya tersilap daftar nombor telefon untuk akaun banknya.

“Suspek kemudiannya akan minta nombor TAC yang diterima mangsa dengan alasan untuk betulkan kembali butiran akaun banknya.

“Sindiket ini akan menggunakan pelbagai alasan untuk menampakkan keadaan mereka terdesak selain mengguna nombor telefon berlainan setiap kali menghubungi mangsa,” katanya.

Malah tambahnya lagi, antara alasan diberi adalah untuk membetulkan nombor telefon yang salah daftar, membatalkan pinjaman bank datuk atau nenek mereka atau perlu keluarkan duit untuk bayar bil hospital datuk dan nenek mereka.