Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2613359
Kemaskini Pada: 16 Mei 2019
Versi 8.2.1
Lebih ramai anak Sarawak dilantik isi jawatan SPP
Tarikh : 23 Apr 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

TAHNIAH: Dr Md Farid (enam kanan) bersama dif kenamaan lain dan ahli-ahli Pengerusi Lembaga Temu Duga SPP (barisan hadapan kiri) selepas majlis penyampaian watikah pelantikan di ILP Miri semalam.

 

MIRI: Lebih ramai anak tempatan akan dilantik untuk mengisi jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi mencapai sasaran 90 peratus guru kelahiran Sarawak menjelang 2021.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata, setakat ini pengambilan di bawah dasar pemerkasaan yang bermula sejak 2015 hingga 2018 itu hanya mencecah 87 peratus.

Dr Md Farid berkata, memandangkan sasaran masih berkurangan sebanyak tiga peratus, pengambilan akan diteruskan sehingga 2021 dengan melantik lebih ramai pegawai pelaksana yang terdiri daripada anak-anak Sarawak.

“Kita berharap dalam tempoh tersebut dapat menjangkau lebih ramai pegawai pelaksana untuk dilantik dalam perkhidmatan pengajaran melalui sesi temu duga yang diadakan di bandar utama seperti Kuching dan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Lembaga Temu Duga (LTD) Sarawak dan Program Bual Bicara Ahli Suruhanjaya Bersama Warga Pendidikan Bahagian Miri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri semalam.

Selain kawasan Kuching dan Miri, sesi temu duga mungkin diperluas ke bandar kecil seperti Sarikei, Kapit dan Limbang bagi mengurangkan kos perbelanjaan calon-calon ke luar.

“Sarawak terdiri daripada masyarakat yang unik dan berbilang kaum, justeru kita berpendapat anak-anak tempatan adalah pilihan terbaik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, beliau menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 pengerusi Lembaga Temu Duga SPP Sarawak yang kesemuanya anak kelahiran Sarawak.

Mereka dilantik memegang jawatan itu bagi tempoh 1 Mei tahun ini hingga 30 April 2020.

“Pelantikan pengerusi ini bertujuan membantu dan melancarkan proses temu duga yang dilaksanakan oleh SPP bagi mendapatkan calon terbaik untuk berkhidmat di sini.

“Sepanjang 2018,980 calon telah ditawarkan pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan tiga calon Anggota Kumpulan Pelaksana bagi sekolah agama bantuan,” jelasnya.

Tambahnya, jumlah ini berkurangan berbanding calon yang dilantik pada 2017 disebabkan pembekuan sementara urusan pengambilan oleh kerajaan.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Timbalan Pengerusi SPP Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

  • oleh Sudan Ajang
  •