Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
2745577
Kemaskini Pada: 17 Jul 2019
Versi 8.2.1
Penyalahgunaan dadah, alkohol menular di luar bandar
Tarikh : 25 Jun 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 
 Uggah (lima kiri) bersama yang lain pada Majlis Perasmian Sesi Dialog Pembangunan Sosial  di Rumah Dau Gandau, Temadak, Ulu Spak, Betong. UNTUK ALBUM: Uggah (lima kiri) bersama yang lain pada Majlis Perasmian Sesi Dialog Pembangunan Sosial di Rumah Dau Gandau, Temadak, Ulu Spak, Betong.

BETONG: Masalah penyalahgunaan dadah dan alkohol kini mula menular dalam kalangan komuniti luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masalah itu turut berlaku dalam kalangan masyarakat di sini.

Beliau berkata situasi itu menyebabkannya berasa bimbang kerana masalah tersebut semakin serius.

“Ini mungkin disebabkan taraf hidup rakyat dan hubungan jalan raya yang lebih baik ketika ini hasil dasar-dasar kerajaan yang baik.

“Ditambah, apabila harga kelapa sawit dan lada sangat tinggi, ramai orang atau anak-anak mereka mampu membeli apa sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Pembangunan Sosial anjuran Majlis Pembangunan Sosial di Rumah Dau Gandau, Temadak, Ulu Spak di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata taraf hidup dan jaringan jalan raya yang lebih baik telah menyebabkan ketagihan alkohol dan kini dadah dalam kalangan belia di sini.

“Bulan ini misalnya, berlaku dua kemalangan maut melibatkan dua remaja yang dikatakan memandu dalam pengaruh alkohol,” katanya.

Justeru beliau berharap Majlis Pembangunan Sosial dapat membantu mencari jalan dan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya mahu mencadangkan bermula di peringkat sekolah rendah program khas antialkohol dan antipenyalahgunaan dadah diadakan.

“Marilah kita ‘membersih’ minda golongan belia agar mereka menolak rokok, penyalahangunaan dadah dan bahan mengandungi dadah serta alkohol berlebihan.

“Sama juga dalam kalangan anak-anak kecil, mereka seharusnya diajar agar peka dengan penderaan seksual melibatkan mereka dan melaporkan jika ia berlaku,” ujarnya sambil menambah, program seumpama itu perlu melibatkan ibu bapa.

Selain itu katanya, masalah sosial lain yang perlu diberi perhatian ialah kehamilan dalam kalangan remaja.

“Masalah ini disebabkan kurangnya disiplin dan pemantauan ibu bapa,” katanya.

Menurut Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, semua wakil rakyat sedia membantu menganjurkan program-program pembasmian gejala berkaitan.

Malah ujarnya, wakil rakyat sedia menggerakkan jentera parti untuk melaksanakan program-program berkenaan.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah.