Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
3039990
Kemaskini Pada: 14 Nov 2019
Versi 8.2.2
Kereta hidrogen dapat diguna di Sarawak sebaik stesen bahan api dibina
Tarikh : 24 Oct 2019
 

Abang Johari beraksi dengan kereta Hyundai Nexo milik beliau, yang turut menggunakan bahan api hidrogen. Abang Johari beraksi dengan kereta Hyundai Nexo yang menggunakan bahan api hidrogen. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi 

KUCHING: Rakyat Sarawak dijangka dapat menggunakan kereta hidrogen pada masa akan datang sebaik sahaja kesemua stesen isian semula bahan api berkenaan dapat dibina.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan kereta hidrogen di Sarawak tidak mustahil memandangkan negeri ini bakal memiliki lima stesen isian semula, yang turut boleh digunakan oleh orang awam.

"Selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai kegunaan bas hidrogen kita juga menjadikan penggunaan hidrogen untuk kereta sebagai sebahagian daripada R&D itu.

"Kita akan mempunyai banyak stesen isian semula hidrogen, dimana kita merancang  membina lima stesen seluruh negeri yang mana ia juga untuk kegunaan awam dan sebaik semua stesen ada, maka kereta menggunakan hidrogen boleh digunakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Ekspo Rekaan, Inovasi dan Ciptaan Sarawak (SIIDEx) 2019 di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.

Beliau yang tiba di majlis berkenaan menggunakan kereta Hyundai Nexo, iaitu kereta keluaran Korea Selatan yang menggunakan bahan api hidrogen, telah menarik perhatian mereka yang hadir termasuk para media.

Menurut Abang Johari, penggunaan kereta hidrogen itu adalah sebahagian daripada proses R&D dan beliau menyifatkan pemanduannya sangat lancar, senyap serta sifar pelepasan.

"Apa yang penting kereta ini adalah menggunakan bahan api hidrogen dan ia menjadi sebahagian daripada proses R&D kita, dan kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti.

"Namun dari segi keselamatan, ia sangat selamat," tegasnya sambil memberitahu malahan harga kenderaan berkenaan lebih murah berbanding kereta mewah seperti Mercedez Benz.

Beliau percaya penggunaan kereta hidrogen di negeri ini akan bermula dan ia mungkin mengambil masa bergantung kepada hasil daripada penyelidikan yang dilakukan.

Abang Johari berkata, apa yang penting, Sarawak akan menghasilkan hidrogennya sendiri menerusi proses tertentu dengan menggunakan kekayaan sumber air daripada empangan sedia ada.

Mengenai peruntukan insentif oleh kerajaan negeri menerusi bajet pada persidangan DUN akan datang bagi tujuan pembelian bahan api hidrogen, beliau berkata tidak ada cadangan sedemikian.

Katanya, ia kerana isu berkaitan kereta khasnya import adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan bukan negeri.