Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Jumlah Pelawat
3039814
Kemaskini Pada: 14 Nov 2019
Versi 8.2.2
KPDNHEP laksana skim harga maksimum sempena Deepavali
Tarikh : 22 Oct 2019
 
 (Dari kiri) Chang, Roslee dan Tang pada pelancaran Skim Harga Maksimum sempena Perayaan Deepavali di Sibu semalam. BANTU RAKYAT: (Dari kiri) Chang, Roslee dan Tang pada pelancaran Skim Harga Maksimum sempena Perayaan Deepavali di Sibu semalam.

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan skim harga maksimum sempena musim perayaan Deepavali di Pasar Raya Sing Kwong, Jalan Salim di sini semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang.

Hadir sama Ketua KPDNHEP Sibu Roslee Maslie dan pemilik Pasar Raya Sing Kwong Jalan Salim Tang Tai Teck.

Menurut kenyataan KPDNHEP Sibu, skim tersebut sebagai langkah menyekat kenaikan harga barang keperluan menjelang perayaan Deepavali berkuat kuasa 20 Oktober hingga 2 November depan.

“Tempoh kuat kuasa skim ini 14 hari iaitu tujuh hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding 10 hari tahun lalu,” katanya.

Jelasnya, skim itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kementerian tersebut mengenal pasti sebanyak 19 barangan ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 berbanding 16 barangan sebelum ini.

Pertambahan barangan melibatkan cili kering, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).

“Senarai barangan harga terkawal bagi kawasan Sibu, Selangau dan Kanowit ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing, telur ayam, tomato, kubis bulat import, cili merah, cili kering, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang besar import, ubi kentang import dan kacang dal.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian penguatkuasaan kawalan harga lebih berkesan memastikan harga berpatutan,” jelasnya.

Harga maksimum ditentukan pada peringkat pengeluaran (ladang) bagi ayam hidup dan telur ayam manakala harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit ditentukan di 91 daerah di Semenanjung Malaysia, 32 daerah di Sarawak dan 27 daerah di Sabah dan sebuah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, KPDNHEP mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” jelasnya.

Dalam usaha melindungi pengguna, KPDNHEP turut meningkatkan keberadaan pegawai penguat kuasanya di tempat-tempat terpilih tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘Omnipresence’.

Justeru, KPDNHEP mengingatkan peniaga mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.