picture
 

Sejarah Daerah Betong


Sejarah Daerah Betong

 

 

 

Betong dan Saratok sebelum tarikh keramat 26 Mac 2002 hanyalah dua buah daerah di dalam Bahagian Sri Aman yang dikenali sebagai Daerah Saribas bagi Betong dan Daerah Kalaka bagi Saratok. Nama tersebut diambil sempena nama dua batang sungai yang penting kepada penduduk di kedua-dua kawasan tersebut. Sungai Saribas dan Sungai Kalaka dahulunya berperanan sebagai medium perhubungan terpenting selain menjadi sumber pendapatan dan makanan bagi penduduk setempat. Kini peranan kedua-dua sungai ini daripada segi perhubungan sudah tidak begitu penting lagi. Nama kedua-dua daerah ini juga turut berubah kepada Daerah Betong dan Daerah Saratok bersempena dengan nama pekan yang menjadi pusat pentadbiran bagi kedua-dua daerah.

 

Apabila dinaiktarafkan sebagai sebuah Bahagian pada 26 Mac 2002, Bandar Betong telah dipilih sebagai pusat pentadbiran Bahagian dan nama Bahagian Betong telah dipilih mengikut nama bandar pusat pentadbirannya. Kawasan pendatadbiran Bahagian baru ini merangkumi Daerah Saratok dan Daerah Betong yang telah diperluaskan sehingga ke Daerah Kecil Maludam yang dahulunya berada di bawah Pentadbiran Daerah Sri Aman. Nama Betong dikatakan mengambil nama sejenis buluh tempatan yang banyak terdapat di sini iaitu, buluh betung. Daerah Betong terbahagi kepada 2 daerah kecil iaitu Daerah Kecil Spaoh dan Daerah Kecil Debak.

 

Betong  adalah sebuah penempatan yang penting dari segi sejarah Negeri Sarawak kerana terdapat banyaknya peristiwa penentangan pemerintahan Brooke berlaku di sini. Tempat dan bangunan bersejarah seperti kubu masih dapat dilihat hingga ke hari ini dan ada yang masih digunakan. Bukit Sadok yang terkenal dengan peristiwa Pertempuran Bukit Sadok pernah menyaksikan tiga pertempuran besar di antara Pemerintahan Rajah Brooke dengan Panglima Rentap yang mendapat gelaran Raja Pendalaman dalam tahun 1857 hingga tahun 1861.