Asal Usul Saratok
Sehingga kini, kewujudan nama Saratok masih tidak dapat dipastikan. Namun, terdapat beberapa versi mengenai kewujudannya. Berdasarkan buku “Legends & History of Sarawak” yang ditulis oleh Chang Pat Poh, kewujudan Saratok dikaitkan dengan seorang Melayu tua yang bergelar ‘Dato’ dan temannya yang ingin mengunjungi sanak saudaranya yang berasal dari kawasan Saratok pada suatu ketika yang lampau. Kesan daripada usia yang tua, beliau sering berjalan menuju ke arah yang salah. Temannya itu selalu mengingatkan beliau dengan berkata ‘Salah Tok’ dan akhirnya dituturkan secara perlahan sebagai ‘Saratok’ hingga ke hari ini.
Berdasarkan versi lisan pula, kewujudan nama Saratok dipercayai berpunca daripada pokok ‘Salak’ yang dikatakan banyak terdapat di kawasan pekan Saratok pada masa itu. Pengunjung yang datang sering mengatakan ‘Salak Tu’ yang bermaksud ‘ini adalah pokok Salah’. Secara perlahan ia dituturkan sebagai “Saratok’.
Manakala, menerusi buku “The Living Legends: Borneo Telling Their Tales” yang dikarang oleh Benedict Sandin, kewujudan nama ‘Saratok’ diperkatakan berpunca daripada kumpulan Seru yang diketuai oleh pahlawan yang bernama ‘Segatok’ yakni melarikan diri daripada serangan orang Iban ke sebuah ‘Munggu’ (bukit). Difahamkan bahawa ‘Munggu’ tersebut dinamakan sebagai ‘Munggu Segatok’ sempena nama ketua kumpulan Seru berkenaan. Pejabat Daerah Saratok terletak di atas ‘Munggu’ tersebut sebelum berpindah ke lokasi yang baru pada masa sekarang.
|