Latar Belakang Daerah Pusa



Gambar: Google Map

Daerah Pusa berkeluasan 947 km², terletak di muara Sungai Rimbas (cabang Sungai Saribas) dan kira-kira 70 km daripada Bandar Betong manakala lebih 300 km daripada Bandaraya Kuching. Daerah Pusa terletak di bawah kawasan parlimen P201 Batang Lupar dan P204 Betong yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N28 Lingga, N29 Beting Maro dan N35 Saribas dengan populasi penduduk pada anggaran sekitar 27,279 orang (Sarawak Facts and Figures, 2016).

Penempatan di kawasan Pusa wujud sekitar awal abad ke 18 di sepanjang pesisir muara Sungai Rimbas dan Kampung Pusa merupakan antara kampung yang tertua di daerah ini. Pentadbiran daerah ini turut meliputi Daerah Kecil Maludam. Jumlah keseluruhan kampung dibawah pentadbiran daerah ini adalah 27 buah kampung yang dipimpin oleh 6 ketua masyarakat dan 27 orang ketua kaum.

Penduduk di daerah ini kebanyakannya berbangsa Melayu dan Iban  dengan sedikit taburan penduduk berbangsa Cina. Majoriti penduduk bekerja sebagai petani dan nelayan. Walaupun begitu, generasi baru yang berasal daripada Daerah Pusa ramai yang telah berjaya di dalam pelbagai sektor dan bekerja di dalam pelbagai industri.