BETONG: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong mendapat pengiktirafan dan pujian ekoran kejayaan melahirkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa sekali gus membuktikan anak-anak luar bandar mendapat peluang dan mampu bergerak lebih jauh dalam memacu perkembangan pendidikan.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar MRSM Betong sehingga ke peringkat tinggi.
“Nama seperti Alexter Barling, Mohamad Amir Aimirul Taim, Muhammad Haziq Hazizi Abrar serta Mohammad Afiq Matdi telah membanggakan kita semua terutama warga MRSM Betong.
“MRSM Betong telah terlakar di bumi Sakura, ini satu pencapaian yang sangat baik, membuktikan pembangunan pendidikan di Betong mampu bergerak hebat dan cemerlang.
“Pelajar berjaya menempa nama dan memenangi anugerah serta pencapaian terbaik untuk pendidikan MRSM Betong amnya untuk negara,” katanya pada Majlis Anugerah dan Graduasi Ke-5 MRSM Betong di Dewan Gemilang, di sini Khamis lalu.
Beliau menyatakan, anak-anak luar bandar harus dibela dan diberikan pendidikan terbaik.
“Pimpinan Barisan Nasional (BN) di Betong telah melaksanakan yang terbaik memberikan anak-anak kemudahan pendidikan yang berkualiti tinggi.
“Apabila rakyat mendapat kemudahan sudah tentunya masa depan lebih terjamin kepada kita semua,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memuji MRSM Betong kerana berani tampil menjelaskan kepada ibu bapa, orang ramai tentang beberapa tuduhan palsu yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kepada MRSM Betong.
“Pihak-pihak yang cuba merosakkan nama MRSM Betong mahu menjejaskan reputasi sekolah, namun saya percaya dan yakin masyarakat di sini dan MRSM Betong mempunyai perpaduan kuat dan tidak tergugat dengan pelbagai isu berlaku.
“Perpaduan di sini tiada sebarang masalah, masyarakat di sini mempunyai semangat kerjasama dan bersatu padu antara satu sama lain.
“Justeru, saya suka mengingatkan agar perpaduan yang kita miliki ini perlu dijaga dan diambil perhatian,” jelasnya.
Beliau berharap MRSM Betong mampu memainkan peranan menyemai semangat perpaduan dengan penganjuran pelbagai program.
“Kerajaan akan menyokong sepenuhnya program yang dirangka dan dirancang oleh MRSM demi memastikan pembangunan pendidikan terus diutamakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan tekun mencapai yang terbaik.
Majlis itu melibatkan penganugerahan kepada 119 pelajar, antaranya Anugerah Terbaik Akademik 2014 diberikan kepada Ashley Debra Branja, Alya Kamilia Anuar, Mohamad Amir Amirul Taim dan Mohamad Zakwan Mohtadza.
Sementara itu, Anugerah Khas Kecemerlangan Kokurikulum diberikan kepada Jasper Anji Augustine, Anugerah Kepimpinan kepada Mohamad Zakwan Mohtadza dan Anugerah Sahsiah kepada Muhammad Aidil Anuar.
MRSM Betong juga memberi Anugerah Khas kepada beberapa penerima antaranya Alexter Barling yang mewakili Malaysia dalam Program JENEYS 2.0 (Social Community) di Jepun pada 7 hingga 17 Julai lalu. Ia juga diberikan kepada Mohamad Amir Aimirul Taim yang merangkul pingat emas pada Kangaroo Mathematics Competition 2014 dan mempunyai peluang mewakili Malaysia.
Turut disampaikan hadiah Tokoh Pelajar Terbilang yang dinobatkan kepada Mohamad Zakwan Mohtadza.
-BorneoPost