Tarikan Pelancongan
1.Pesta Ikan Buntal (Manggut Spaoh)
Pesta Ikan Buntal yang pertama telah diadakan pada 6-7 Ogos 2002 di Kampung Manggut, Spaoh, Betong. Pesta tersebut telah dirasmikan oleh Y.B. Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak selaku penaung pesta ini. Bermula daripada titik tolak penganjuran pertama pesta tersebut akhirnya Pesta Ikan Buntal Betong telah dimasukkan di dalam Kalender Pelancongan Sarawak bermula dari tahun 2004. Pesta ini dianjurkan oleh Pejabat Daerah Betong dengan dibantu oleh semua agensi-agensi kerajaan yang ada di Daerah Betong termasuk juga luar Betong.
Penganjuran Pesta Ikan Buntal ini pada awalnya adalah bertujuan untuk mempromosikan dan memperkenalkan Bahagian Betong sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Sarawak khususnya di Daerah Kecil Spaoh. Selain itu juga penganjuran pesta ini mampu memberi impak sosial kepada masyarakat setempat dengan mempromosikan keunikan budaya masyarakat tempatan kepada masyarakat luar yang datang berkunjung. Kelazatan dan keunikan masakan Ikan Buntal Kuning untuk dijadikan santapan juga turut dipromosikan kepada masyarakat luar. Produk ikan buntal itu sendiri juga mampu mendatangkan pendapatan kepada penduduk setempat melalui hasil jualan ikan buntal sama ada ikan buntal masin mahupun yang masih segar. Mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat selain membangunkan Kampung Manggut sebagai destinasi pelancongan terutamanya untuk melihat aktiviti menangkap ikan buntal
Pada awal penganjuran pesta ini, kira-kira seramai 3000 orang pengunjung yang hadir dan berkumpul di Kampung Manggut, Spaoh bagi memeriahkan pesta ini. Semenjak dari itu, dari tahun ke tahun penganjuran pesta ini, kedatangan pelawat serta pengunjung tempatan dan luar semakin bertambah. Pelbagai acara dan aktiviti telah dirangka bagi memeriahkan pesta ini antaranya mini regatta, demonstrasi penyediaan dan masakan ikan buntal, demonstrasi penyediaan ikan buntal dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan, pertandingan menangkap ikan buntal, pertandingan bola sepak, pertandingan karaoke, permainan tradisional (pangkah gasing), pameran dan jualan asas tani serta persembahan hiburan.
2.Mini Regata Betong
Pertandingan Mini Regatta Betong dianjurkan adalah bersempena dengan Bulan Melawat Betong. Pertandingan ini diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan bulan melawat tersebut disamping pelbagai acara dan program lain yang telah dirancang.
Pertandingan lumba perahu di Betong telah begitu lama tidak diadakan iaitu kali terakhir ialah 33 tahun yang lepas iaitu pada tahun 1977. Pada tahun 2010, pertandingan lumba perahu di Betong muncul kembali. Pada kali ini sambutan yang diterima amat mengalakkan dengan kehadiran semua masyarakat sama ada yang di hilir sungai mahupun hulu sungai yang memenuhi kawasan tebingan sungai untuk menyaksikan perlumbaan tersebut. Sebanyak 51 buah perahu telah menyertai pertandingan tersebut dan ini menunjukkan bahawa minat masyarakat setempat terhadap perlumbaan ini sangat baik. Dianggarkan kira-kira 2000 hingga 3000 orang pengunjung yang hadir dan berkumpul di tapak regatta untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.
Penganjuran pesta ini mempunyai beberapa objektif utama. Antaranya ialah:
i. Mempromosi dan memperkenalkan Bahagian Betong sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Sarawak;
ii. Mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat selain membangunkan Bandar Betong sebagai destinasi pelancongan terutamanya untuk melihat aktiviti lumba perahu;
iii. Merupakan salah satu acara dalam program bulan melawat Betong;
iv. Mengeratkan hubungan kemasyarakatan terutamannya di kalangan masyarakat setempat.
3.Sejarah Kubu Rentap Di Bukit Sadok
Pada zama dahulu iaitu ketika era pemerintahan kolonial, masyarakat Iban dan Melayu di kawasan Saribas dan Skrang senantiasa diketuai oleh seseorang yang yang berani dan tidak takut diserang bagi mempertahankan kawasan dan rakyat daripada ditakluki dan dikuasai Rajah James Brooke. Mereka sentiasa berperang dan bertembung dengan askar-askar yang diketuai oleh Rajah James Brooke bagi mempertahankan kawasan mereka. Salah seorang yang berani dan mengetuai kumpulan ini ialah Rentap. Namun demikian, sekitar tahun 1854, Rentap telah dikalahkan di Sungai Lang, Ulu Skrang.
Selepas dikalahkan di Sungai Lang, Ulu Skrang, Rentap mengundur diri lalu membina Kubu di puncak Bukit Sadok. Kubu tersebut dibina menggunakan kayu tebelian setebal 2 kaki. Di tengah-tengah kota tersebut telah didirikan sebuah menara sebagai tempat Rentap dan askarnya berteduh. Mengikut cerita, kubu ini sangat teguh dan sukar untuk ditembusi. Kubu tersebut hanya dibina dua pintu masuk sebagai laluan utama iaitu disebelah utara dan selatan menghadap ke arah kawasan bukit yang sangat curam dan sukar untuk diserang. Oleh kerana merasakan kubu mereka sangat teguh dan kuat, Rentap dan askarnya lalu berkuasa dan menjadi Raja di kawasan tersebut.
Semasa serangan pertama dari Sungai Skrang yang diketuai oleh Tuan Muda Charles Brooke, beliau telah mengumpul seramai 3,500 orang askar Iban dan 500 orang askar Melayu. Pada tarikh 15 Jun 1857, Charles Brooke telah melancarkan serangan ke atas kubu Rentap, namun serangan tersebut telah gagal merobohkan kubu dan menggalahkan Rentap dan askar-askarnya.
Sekitar bulan Ogos 1858, sekali lagi Tuan Muda Charles Brooke mengetuai serangan yang kedua ke atas Kubu Rentap di Bukit Sadok dengan dianggotai seramai 2,000 orang askar Iban dan 200 orang askar Melayu melalui Sungai Layar menuju ke Nanga Tiga untuk sampai ke kawasan Rapu. Serangan kali ini, Tuan Muda Charles Brooke telah menggunakan meriam yang mana berat peluru meriam tersebut ialah 6 paun. Namun demikian, walaupun menggunakan meriam tersebut, askar-askar James Brooke masih lagi gagal meroboh dan menggalahkan kubu Rentap tersebut. Askar-askar Rentap yang mendiami kubu tersebut telah menyindir dan merendah-rendahkan askar-askar James Brooke supaya membawa mana-mana senjata dari Englang untuk menyerang mereka.
Pada serangan yang ketiga, Charles Brooke telah mengumpul para askarnya lagi dan kali ini mereka telah membawa meriam yang diberi nama Bujang Sadok melalui Ulu Sungai Layar ke Nanga Tiga terus sampai ke kaki Bukit Sadok pada 25 Oktober 1861. Awal pagi pada 28 Oktober 1861, meriam Bujang Sadok buat pertama kali meledakkan peluru pada pagi tersebut. Peluru tersebut telah memasuki kubu Rentap melalui sebuah lubang yang dibuat di kubu tersebut lalu membunuh ketua penembak yang menggunakan meriam yang digelar Bujang Timpang Berang.
Darah ketua penembak tersebut telah menyebabkan belerang meriam yang digunakan oleh askar Rentap basah dan tidak dapat digunakan lagi. Apabila meriam tersebut tidak dapat digunakan lagi, maka askar-askar Rentap tidak mampu dan berdaya lagi untuk mempertahankan kubu tersebut. Charles Brooke dan askar-askarnya tidak henti-henti menyerang kubu Rentap dengan meriam Bujang Sadok yang menyebabkan dinding kubu tersebut musnah dan roboh. Akhirnya askar-askar Charles Brooke dapat masuk ke dalam kubu tersebut dan menjumpai askar-askar Rentap yang terbunuh dan cedera. Rentap bersama-sama dengan 24 orang kanannya yang terselamat melarikan diri ke Bukit Lanjat.
Pada petang 28 Oktober 1861, kubu Rentap telah dibakar. Api dan asap dapat dilihat dari beberapa buah rumah panjang di kawasasn Ulu Layar tersebut. Dengan roboh dan musnahnya kubu Rentap di atas Bukit Sadok maka berakhirlah pemerintahan Rentap di kawasan tersebut yang menyebabkan kawasan Saribas dan Skrang menjadi aman sehingga sekarang.
4.Bujang Timpang Berang
Bujang Timpang Berang adalah nama timangan bagi meriam yang sangat terkenal di Sarawak yang suatu ketika dulu digunakan oleh Rentap ketika menentang penjajahan Rajah James Brooke. Meriam ini mendapat nama Bujang Timpang Berang kerana bahu sebelah kanan pada meriam telah patah. Mengikut sejarahnya, meriam ini telah dibawa oleh Orang Kaya Pemancha Dana Bayang dari kawasan yang dipanggil Empawa Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia iaitu sebuah kawasan yang dijajah oleh Belanda sekitar tahun 1837. Pada badan meriam tersebut telah diukir lambang sauh beserta dengan nombor 1515 sebagai tanda meriam tersebut. Berat meriam tersebut ialah 249.5 kilogram.
Meriam ini pernah digunakan oleh Orang Kaya Pemancha Dana Bayang mempertahankan kubunya di Nanga Padeh, Layar. Pada 11 Jun 1843, kubu tersebut telah dikalahkan oleh James Brooke bersama dengan Kapten Henry Keppel.
Dalam bulan Jun tahun1857, iaitu serangan yang pertama kali oleh Tuan Muda Charles Brooke bersama-sama dengan askar-askar terhadap kubu Rentap di Bukit Sadok. Meriam Bujang Timpang Berang telah digunakan oleh Rentap untuk bertempur dan mempertahankan kubunya di puncak Bukit Sadok daripada dikalahkan oleh Tuan Muda Charles Brooke. Serangan yang dilancarkan oleh Charles Brooke tersebut telah menemui kegagalan kerana ramai askar-askar beliau yang cedera dan mati di samping keadaan yang amat sejuk di puncak Bukit Sadok yang menyebabkan beliau dan askarnya mengundur diri.
Dalam bulan Apri 1858, meriam Bujang Timpang Berang telah digunakan oleh Nanang, Aji dan Luyoh mempertahankan kubu mereka di Nanga Padeh. Namun demikian, kubu tersebut telah dikalahkan oleh askar-askar Charles Brooke.
Pada bulan Ogos 1858, Charles Brooke sekali lagi telah mengetuai askar-askarnya menyerang Bukit Sadok. Sekali lagi Rentap telah menggunakan Bujang Timpang Berang untuk mempertahankan kubunya. Pada serangan yang kedua kali ini pun, Charles Brooke tetap gagal menggalahkan Rentap di Bukit Sadok.
Rancangan untuk menyerang kubu Rentap bagi kali yang ketiga, Charles Brooke telah membawa meriam dengan berat peluru 12 paun dari Kuching, Sarawak yang digelar Bujang Sadok. Berat meriam ini ialah 363.2 kilogram.
Tanggal 28 Oktober 1861, meriam Bujang Sadok telah memuntahkan peluru buat pertama kalinya yang mana telah membunuh ketua pasukan menembak yang menggunakan Bujang Timpang Berang. Darah ketua tersebut telah mengalir dan membasahi belerang meriam tersebut sehingga menyebabkan belerang tersebut tidak dapat digunakan lagi. Bermula dari itu, Rentap dan askar-askarnya tidak mampu lagi untuk mempertahankan kubu mereka dan mereka tumpas pada pertempuran tersebut. Meriam Bujang Sadok telah membedil sebanyak 17 peluru sehingga menyebabkan rodanya rosak. Selepas kubu Rentap dikalahkan, lubang Bujang Timpang Berang telah ditutup menggunakan besi supaya meriam tersebut tidak boleh digunakan lagi.
Bujang Timpang Berang tersebut telah ditinggalkan di Bukit Sadok dan tidak dijaga selama 65 tahun. Dalam tahun 1926, Pegawai Daerah Betong iaitu G.R.H. Arundell bersama dengan Penghulu Unji Spak telah membawa meriam tersebut turun dari Bukit Sadok dan disimpan di Kubu Lily di Nanga Entanak, Betong. Pada 9 Oktober 1990, meriam Bujang Timpang Berang telah dipindahkan dari Kubu Lily ke Pejabat Daerah Betong di Bukit Bangun, Betong sehingga ke sekarang ini.