Sejarah Pentadbiran Bahagian Betong

 

Sejarah Pentadbiran Bahagian Betong


Pengenalan Bahagian Betong

Pejabat Residen Bahagian Betong telah ditubuhkan pada 26 Mac 2002 dan merupakan Pejabat Pentadbiran Bahagian ke-11 di Sarawak yang telah diisytiharkan oleh YAB Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak. Kawasan di bawah pentadbiran Pejabat Residen Bahagian Betong terdiri daripada Daerah Betong dan Daerah Saratok.

Walaupun Daerah Betong dan Daerah Saratok masih di bawah bidang kuasa Pentadbiran Bahagian Sri Aman, kedua-dua daerah tersebut telah banyak menyumbang kepada hasil ekonomi di sekitar mereka. Selepas dinaik taraf sebagai pentadbiran bahagian baharu, pembangunan kini tertumpu kepada meluaskan kawasan ekonomi pertanian dan perikanan sedia ada agar dapat dijadikan antara hasil ekonomi utama Bahagian Betong.

Selain itu, pembangunan industri pelancongan juga giat dijalankan bagi mempromosikan Bahagian Betong dan ini penting bagi menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengenali Bahagian Betong dengan lebih dekat. Usaha ini juga diharapkan dapat menarik minat usahawan dari dalam dan luar untuk meluaskan peluang perniagaan di Bahagian Betong agar dapat menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan pesat Bahagian Betong.

Operasi Pejabat Residen Bahagian Betong (PRBB) bermula apabila Daerah Betong diisytiharkan sebagai Pentadbiran Bahagian baharu pada 26 Mac 2002 dan diketuai oleh Residen pertama Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel. Penubuhan Pejabat Residen Bahagian Betong adalah penting kerana ia berfungsi sebagai nadi mentadbir kemajuan dan pembangunan di Bahagian Betong secara keseluruhannya.

Pada awal penubuhannya, Pejabat Residen Bahagian Betong ditempatkan di pejabat sementara yang terletak di Pejabat Daerah Betong, Jalan Pengerang Isek untuk menjalankan operasi pejabat dan operasi pentadbiran bagi seluruh Bahagian Betong. Setelah hampir 5 tahun ditempatkan di Pejabat Daerah Betong, operasi pejabat dan pentadbiran Pejabat Residen Bahagian Betong telah dipindahkan ke Aras 2 dan 3, Blok Menara, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Bahagian Betong, di Jalan Setia Raja pada Julai 2007.

Sebagai kesinambungan daripada itu, perancangan proses pembangunan Bahagian Betong semakin meningkat dari semasa ke semasa dan Pejabat Residen Bahagian Betong kini sedang giat berusaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada kepada pelanggan yang datang berniaga.